Salam 3-0. Sememangnya pahit untuk ditelan oleh warga bola sepak tanah air yang begitu dambakan kemenangan daripada skuad negara, pasukan kesayangan kita selama ini.

Kali ini tumpas kepada seteru Indonesia yang kembali membuat penampilan di pentas antarabangsa selepas bebas daripada penggantungan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Sekali lagi, ini pengalaman pahit buat penulis selepas malapetaka di Abu Dhabi dan Oman tahun lalu.

"Apa punya nasiblah", luahan kecewa dalam hati saya sambil menepuk dahi dan geleng kepala, sama ketika skuad negara diaib 10-0 oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang kemudiannya menyaksikan perletakan jawatan Dollah Salleh selaku pengendali negara.

Kali ini, pengalaman saya sebagai saksi episod duka di Solo bertemankan legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad.

Fandi sememangnya tidak asing di Indonesia kerana pernah membimbing sebuah kelab di sana sebelum ini.

Kami duduk bersebelahan bersama ribuan penyokong skuad Garuda di Stadium Manahan dengan suasana gamat sepanjang 90 minit permainan.

Ketika satu demi satu gawang skuad negara dibolosi, Fandi memandang ke arah saya sambil menepuk dahi dan menggeleng kepala. Jadi, tiga kali lah dia pandang saya sambil tepuk dahi dan geleng kepala.

Bekas penyerang Singapura itu seolah terkejut dengan aksi pemain Malaysia. Dia ada melontarkan pandangan peribadinya mengenai beberapa perkara tentang pasukan negara.

Tetapi, biarlah ia menjadi rahsia di antara kami.

Sejurus perlawanan tamat, saya sempat bergambar dengan jurulatih yang menjulang LionsXII menerusi gelaran Piala FA pada tahun lalu itu. Ia sebagai kenangan kerana kurang sebulan daripada sekarang, Singapura pula lawan skuad negara, sekali lagi saya tepuk dahi dan geleng kepala!