Emma Raducanu tidak akan tergesa-gesa untuk melantik jurulatih baru tatkala juara Terbuka Amerika Syarikat itu bersiap sedia untuk membuat kemunculan pertama dalam Kejohanan Tenis Terbuka Indian Wells minggu ini.

Pemain sensasi remaja itu melakar sejarah apabila menjadi pemain kelayakan pertama yang memenangi gelaran grand slam di Flushing Meadows berkenaan bulan lalu.

Perpisahan pemain berusia 18 tahun itu dengan jurulatihnya, Andrew Richardson, sejurus kejayaan menakjubkan di New York terbabit didorong oleh keinginannya untuk dilatih oleh individu yang lebih pengalaman dalam Jelajah WTA.

Raducanu akan bekerjasama dengan jurulatih kebangsaan Persatuan Tenis, Jeremy Bates, ketika turun dalam kejohanan pertamanya sebagai pemenang grand slam dalam Terbuka Indian Wells, California.





Pemain Britain itu, yang akan menghadapi Maria Camila Osorio Serrano atau Aliaksandra Sasnovich dalam pusingan pertama setelah diberikan laluan khas ke pusingan kedua, sedia meluangkan masa untuk memikirkan siapa yang akan menjadi jurulatih tetapnya.

Dia berkata dalam sidang media awal pagi tadi: "Jeremy merupakan sebahagian daripada jurulatih tenis wanita dalam LTA dan sepanjang dia di sini, dia banyak membantu saya.

"Tetapi untuk melangkah lebih jauh saya perlu bersabar untuk mendapatkan orang yang tepat, saya tidak akan terburu-buru. Saya mahu memastikan saya membuat keputusan yang betul.

"Walaupun saya masih muda, saya mempunyai banyak pengalaman dan akhirnya saya sendiri yang akan bertarung di luar sana dan menjadi jurulatih ke atas diri sendiri di atas gelanggang, jadi buat masa ini saya cukup selesa."