Setiap kali penghujung tahun dan permulaan tahun baru, pasti akan ada isu membabitkan persatuan bola sepak yang mengugut atau pun mengacah-acah menarik diri daripada saingan liga atas alasan tiada sumber kewangan yang kukuh.

Namun, saban tahun juga, mereka masih bertanding dan tidak pernah pula menarik diri sebagaimana diancam mereka.

Adakah alasan mahu menarik diri sebenarnya salah satu strategi untuk menarik penaja memberikan dana untuk mengharungi musim baru?

Jika ya, ia adalah satu tindakan terkutuk kerana barisan exco mahupun pucuk pimpinan persatuan sanggup menggunakan taktik kotor dan mencemarkan maruah pasukan bola sepak yang dinaungi.

Mereka ini tiada rasa malu kerana berbaju kot beramai-ramai di hadapan kamera, kemudian membuat pengumuman mahu menarik diri, namun dua atau tiga hari kemudian kembali menafikan mahu berbuat demikian.

Apa sebenarnya yang sedang mereka lakukan ini?

Jika tidak, kenapa perlu menunggu sehingga hujung tahun, baru terhegeh-hegeh hendak mencari penaja.

Kenapa ketika pertengahan liga ataupun suku terakhir setiap tahun, pihak pengurusan tidak mencari badan korporat mahupun syarikat swasta untuk memberikan tajaan ?
Kenapa perlu tunggu sehingga saat-saat akhir?

Adakah ia bukti bahawa pucuk pimpinan persatuan tidak tahu buat kerja?

Atau hanya tahu makan gaji buta ? Atau mungkin kedua-duanya ?

Amat mustahil jika pasukan seperti Kelantan dan Selangor tidak mampu mendapatkan penaja dari syarikat swasta kerana mereka bukanlah pasukan kecil anak.

Mereka adalah pasukan dengan reputasi yang hebat di arena bola sepak tempatan.

Jadi, tepuk dada tanya selera!