Entah mana datangnya, isu penarikan diri skuad B-23 negara tampak serius ketika semua pemain hanya akan lapor diri 30 Julai ini.

Istilah tarik diri bawa perspektif berbeza dari pelbagai sudut.

Kali pertama penulis mendengar perkhabaran ini, sudah pasti ia ibarat mesej yang sangat negatif, sebelum berjuang sudah angkat bendera putih.

Begitu lah perumpamaannya.

Lebih dramatik, isu ini mendapat reaksi semua pihak.

Reaksi tanpa rujukan drastik.

Bermula dari Chef-De-Mission Sukan Asia, Datuk Seri Azim Zabidi, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman dan lain-lain rujukan pihak media antaranya legenda bola sepak tanah air dan tidak kurang netizen yang tidak jemu mengikuti perkembangan semasa.

Sayangnya tiada seorang pun yang ambil tindakan drastik bertanya secara terus kepada individu paling penting buat skuad bola sepak negara di Sukan Asia nanti iaitu Datuk Ong Kim Swee.

Hasilnya lahirlah kenyataan mudah, menyalahkan pihak lain tanpa memahami situasi sebenar yang di hadapi skuad negara.

"Tarik diri bukan kenyataan saya". Itu tegas Kim Swee.

"Saya hanya beri bayangan situasi yang bakal dihadapi skuad negara sekiranya Malaysia gagal bekalkan barisan minima 18 pemain ke Sukan Asia. 18 dari 30 pemain yang telah didaftarkan. Maksudnya pilihan saya terhad".

Setakat ini belum ada mana-mana pasukan yang secara terangan menafikan hak pemainnya menyarung jersi negara walaupun hakikatnya saingan di Sukan Asia bukan di bawah kalendar FIFA.

Untuk ‘individu penting’ yang lebih selesa mengeluarkan kenyataan media menerusi laman sosial, cubalah kenali sebaiknya atlit negara yang pikul tanggungjawab besar bagi tempoh kurang sebulan di Sukan Asia nanti.

Takkan masa penyerahan bendera baharu nak tunjuk muka?

Itupun khabarnya, hanya 10 minit sahaja masa yang diperuntukan?