WAWASAN Allahyarham Tan Sri Elyas Omar secara langsung mempercepatkan proses ke arah bola sepak profesional di Malaysia menerusi tindak-tanduknya dalam membentuk skuad Wilayah Persekutuan yang disegani seawal 1983.

Sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur dan penaung Persatuan Bola Sepak Wilayah Persekutuan (PBWP), Elyas menggunakan formula kelab dan penaja untuk memancing pemain terbaik bermain secara profesional, beberapa tahun sebelum semi-pro dilancarkan pada 1989.

Berkunjung ke Singapura untuk berunding terus dengan Fandi Ahmad di sebuah hotel terkemuka pada 1983, Elyas, menerusi Bank Pembangunan Arab Malaysia (kini AmBank), menawarkan gaji bulanan RM6,000 selama dua tahun, sebuah kereta Volvo dan penginapan untuk bintang pujaan ramai itu.

Ketika itu nama Fandi masyhur seantero rantau, menjadi rebutan Melaka, Pahang, Selangor dan Wilayah Persekutuan atas kecemerlangan aksinya bersama Niac Mitra sesudah menolak lamaran gergasi Belanda, Ajax Amsterdam pada 1982.

“Saya terpikat dengan tawaran itu, apatah lagi Tan Sri seorang yang mesra, terbuka dan tiada protokol.”

“Saya menerima bayaran awal selepas menyatakan persetujuan, tetapi waktu itu juga saya terima tawaran daripada FC Groningen. Akhirnya saya pergi ke Kuala Lumpur, lalu memulangkan duit kepada Tan Sri dan meyakinkan dia saya menjadi pemain lebih baik jika diberi peluang ke Belanda. Syaratnya apabila tamat kontrak dengan Groningen, saya harus pulang ke Kuala Lumpur,” kata Fandi, mengimbas detik-detik berunding dengan Elyas lebih tiga dekad lalu.





Memahami aspirasi anak muda itu, Elyas memberi restunya.

Usaha Elyas untuk membentuk sebuah pasukan yang mampu mencabar ego Selangor dan Singapura tergambar menerusi keputusan melamar Serbegeth Singh juga pada 1983, disusuli jurulatih berwibawa, Josef Venglos, pada hujung 1984.

Memandangkan Frank Lord dianggap berjaya di Pahang dan kemudiannya dilantik mengemudi Malaysia, Elyas bersama Presiden PBWP, Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail, yang juga seniornya di Penang Free School, mengenal pasti Venglos sebagai obor menyalakan laluan untuk sekelompok pemain berbakat.

Serbegeth atau Shebby dipancing dari Johor untuk menyarung jersi Kelab Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang juga dinaungi Elyas. Namun tindakan pemain itu beraksi untuk DBKL dalam Liga Wilayah tanpa restu Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) disusuli penggantungan tiga tahun bermula 16 Ogos 1983. Hukuman itu dikurangkan kepada setahun.

Apabila Elyas mengambil alih kerusi presiden PBWP daripada Tengku Ahmad Rithaudeen pada 1985, Pahang sudahpun memulakan langkah mengambil pemain negara jiran – Terry Pathmanathan dan R. Suriamurthi..

Selepas dua musim di Groningen, Fandi kembali menjadi buruan. Kali ini saingan mendapatkan tanda tangan Fandi bertukar menjadi tiga penjuru, dengan Cheq Point menawarkan gaji bulanan RM15,000, kereta bersama pemandu dan penginapan, selain keahlian Kelab County Cheq Point manakala Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) meletakkan gaji bulanan $S5,000 dan bonus.

Elyas, menerusi Tan Sri Azman Hashim yang juga pengerusi Bank Pembangunan Arab-Malaysia, dilaporkan memancing Fandi dengan tawaran RM8,000 sebulan, kereta, rumah dan bonus.





Venglos tampil pada Januari 1985, dilaporkan dengan kontrak bernilai RM250,000 untuk tempoh dua tahun. Pada awal 1986, Fandi akhirnya menyarung jersi Wilayah Persekutuan.

Wilayah Persekutuan muncul juara liga pada 1986 tetapi Piala Malaysia yang dijadikan keutamaan pasukan negeri ketika itu, dimenangi Selangor yang membelasah Johor 6-1 pada final.

Groningen merujuk semula dengan Fandi pada Februari 1987 di saat Wilayah Persekutuan, yang sudah diberi nama rasmi Kuala Lumpur, merancang strategi memenangi Piala Malaysia.

Selepas mengadakan perbincangan, Elyas sekali lagi merelakan pemergian semula Fandi ke Belanda. Namun atas masalah permit kerja, Fandi pulang ke pangkuan Kuala Lumpur pada Julai tahun yang sama.

Tanggal 17 Oktober tahun itu, Kuala Lumpur menjulang Piala Malaysia dengan menewaskan Kedah 1-0. Dibimbing pengganti Venglos, Chow Kwai Lam, Kuala Lumpur menebus kecewa kekalahan 2-0 di tangan Johor pada 1985.

Fandi menjadi sumber inspirasi mengapit Subadron Aziz dan Kannan Kunjumaran, dibantu S. Balachandran, Mat Zan Mat Aris dan Malek Awab di jentera tengah, manakala benteng pertahanan padu dek kehadiran penjaga gol Rashid Hassan dan empat pertahanan - Razip Ismail, Tang Siew Seng, Serbegeth dan Chow Siew Yai.

Sekalipun Elyas dianggap pencetus kecemerlangan Kuala Lumpur, ada ketikanya Allahyarham dianggap membawa badi.

“Pemain menganggap kehadiran Tan Sri memberi tekanan kepada pemain. Banyak kali ketika beliau ada di stadium, Kuala Lumpur tewas selepas mendahului.

“Jadi untuk final 1987, kami gesa Tan Sri duduk di rumah dan hanya datang 15 minit sebelum wisel penamat jika kami mendahului untuk tengok kami julang piala,” kata Fandi.

Elyas yang menonton dari sudut VIP ketika Wilayah Persekutuan tewas pada final 1985, tidak berkecil hati dengan kata-kata pemainnya.

Bahkan untuk final pada 1988 yang dimenangi Kuala Lumpur 3-0 ke atas Kedah, Elyas hanya datang ke Stadium Merdeka pada 10 minit terakhir dan hanya dimaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa oleh Setiausaha PBKL, K. Rasalingam.

Apapun, Elyas satu dalam seribu buat Fandi.

“Saya banyak kenangan dengan Tan Sri. Tan Sri seorang tokoh yang benar-benar meminati sukan. Hubungan kami dengan Allahyarham cukup intim, ibarat anak dengan bapa. Selain sifat kebapaannya, beliau jujur, amanah dan menepati janji.

“Tan Sri tergolong dalam kelompok kecil individu yang mempengaruhi hidup saya,” kata Fandi.

Jiwa muda Fandi subur di tengah-tengah kerancakan pembangunan Kuala Lumpur yang turut mendapat sentuhan Elyas selaku Datuk Bandar.

Memandu kereta sport, menginap di pangsapuri sambil melayan surat peminat yang diterima Fandi sebanyak 10 pucuk sehari secara purata, bintang Singapura itu menganggap ibu kota Malaysia sebagai syurga dunia.

“Tan Sri mentransformasikan sukan bola sepak seiring dengan pembangunan infrastruktur Kuala Lumpur dan saya kebetulan menjadi sebahagian denyut nadi itu,” kata Fandi.

Pada malam pemergian Elyas, Fandi tidak mengangkat panggilan telefon daripada bekas rakan-rakan sepasukan seperti Razip dan Malek disebabkan menjalani latihan bersama skuad Singapura menuju Piala AFF kelak.

“Kali terakhir saya bertemu Allahyarham apabila rakan-rakan sepasukan KL era kami menziarah beliau di kediamannya Mac lalu. Saya bercadang menziarah jenazah dan seterusnya mengiringi perjalanan terakhir Tan Sri etapi tidak berkesempatan. Namun kita doakan agar Allah mengampuni dosa Allahyarham Tan Sri.”

Kembara Fandi sebagai pemain membawanya menghirup udara nyaman Amsterdam, Surabaya, Groningen, Crete di Greece dan Kuantan sebelum kembali ke tanah kelahirannya Singapura.

Jauh di sudut hatinya, detik-detik bersama Elyas, Kuala Lumpur dan rakan-rakan kekal membawa seribu satu macam
kenangan buat Fandi.

Gambar: Koleksi Fandi Ahmad