Indonesia menjadi destinasi pra-musim seterusnya bagi Sabah dan ia dijangka menjadi aksi pemanas badan terakhir buat mereka sebelum menghadapi saingan Liga Super nanti.

Sebelum ini, skuad kendalian Kurniawan Dwi Yulianto itu telah terbang ke Filipina untuk dua aksi persahabatan dengan kedua-duanya dimenangi mereka iaitu menewaskan naib juara Liga Filipina musim lalu, Kaya FC 2-0 serta menundukkan Stallion Laguna FC 2-1.

Di Surabaya, Indonesia nanti, Tambadau bakal menyertai satu kejohanan jemputan bagi merebut Piala Gabenor Jawa Timur 2020 yang disertai tujuh pasukan lain.

Selain Sabah, turut menyertai kejohanan yang akan bermula pada 8 Februari itu adalah enam pasukan daripada Liga 1 Indonesia dan sebuah pasukan dari Liga Super iaitu Selangor.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Peter Anthony, berkata, pihaknya tidak meletakkan apa-apa sasaran untuk kejohanan itu kerana apa yang lebih penting adalah membentuk keserasian pemain sebelum memulakan saingan Liga Super.

"Dalam memantapkan pasukan Sabah, faktor keserasian pemain yang dikekalkan dalam skuad Tambadau itu dengan pemain import baharu diberi keutamaan.

"Pasukan Sabah dibawah bimbingan Ketua Jurulatih Baharu Kurniawan Dwi Yulianto tidak menetapkan sasaran pada penyertaan di pertandingan itu dan pada masa sama mengelak pemain dari mengalami kecederaan.

"Ini penting agar persiapan pasukan Sabah pada Liga Super tidak terjejas dan dalam masa sama kombinasi pemain dipertingkatkan," katanya pada sidang media di pejabat SAFA, di sini, semalam.

Sementara itu, Peter berkata, jumlah pemain yang akan diterbangkan ke Indonesia nanti akan diputuskan oleh ketua jurulatih, Kurniawan Dwi Yulianto.

"Saya juga berharap kejohanan pendek di Indonesia itu nanti akan membantu pasukan dalam membentuk sebuah pasukan yang mantap kerana saingan kita pada musim baharu nanti bukan alang-alang...ianya Liga Super," katanya.