Harvard, Yale, Trinity, Princeton, Stanford, Pennsylvania dan universiti termasyhur lain di Amerika Syarikat 'menculik' pemain skuasy Malaysia.

Tawaran penuh biasiswa tidak dapat ditolak oleh para pemain terutama sekali ibu bapa yang inginkan anak mereka melanjutkan pengajian tinggi di universiti terbaik di dunia dan yang paling menarik perhatian ibu bapa, tawaran biasiswa bermakna mereka tidak perlu lagi berasa tertekan menanggung yuran pengajian yang boleh mencapai ratusan ribu ringgit.

Sejak tahun 2002, Malaysia sudah kehilangan lebih kurang 15 pemain skuasy muda negara yang cukup berbakat dan berpotensi untuk memikul tanggung-jawab skuasy negara di peringkat senior kepada universiti di Amerika Syarikat.

Budaya Malaysia mahupun Asia yang menitik-beratkan pendidikan memberi tekanan kepada atlet muda dalam lingkungan 18 tahun atau selepas Sijil Pelajaran Malaysia yang terpaksa memilih sama ada meneruskan karier sukan sepenuh masa atau fokus kepada pengajian tinggi.

Walaupun banyak program dan fleksibiliti yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi Malaysia, tetapi banyak persatuan sukan yang menggaru kepala bagaimana untuk memastikan atlet muda mereka terus memberi komitmen dalam sukan.

Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM) sememangnya bangga melahirkan para pemain yang bukan sahaja cemerlang dalam kejohanan antarabangsa tapi juga pelajar cerdik pandai.

Pemain skuasy pertama yang ditawarkan biasiswa penuh oleh universiti di Amerika Syarikat ialah Leong Siu Lynn, juara wanita Asia 1996 yang berjaya menghabiskan pengajian di Universiti Trinity pada 2005.

Selepas itu, satu persatu pemain muda Malaysia 'diculik' oleh universiti terkemuka Amerika Syarikat untuk bermain dalam pasukan masing-masing di Liga Skuasy Universiti juga di kenali sebagai Ivy League.

Antara pemain negara yang melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat ialah Wong Kim Lee, Yong Sue Ann, Vanessa Raj, Teh Min Jie, Tan Yan Xin dan Marcus Sim.

Kesemua pemain Malaysia yang meneruskan pengajian di Amerika Syarikat tidak kembali beraksi secara kompetitif selepas tamat pengajian.

Rasionalnya ramai yang faham kerana sekeping ijazah dari universiti popular di dunia ini akan membuka peluang pekerjaan dan tawaran gaji yang tinggi.

Siu Lynn kini seorang jurulatih di Universiti Yale, Kim Lee bekerja di syarikat pelaburan di Wall Street dan Yan Xin menjadi pengurus di pusat pelancongan ski di Hokkaido,Jepun.

Bagi mencari solusi supaya bakat muda ini tidak keluar dari Malaysia, lagi-lagi cabaran mencari pengganti Nicol David dan Nafiizwan Adnan, SRAM bekerjasama dengan Yayasan CIMB juga penyokong besar program pembangunan skuasy negara untuk memberi
biasiswa kepada pemain nombor 2 wanita dan lelaki negara, S.Sivasangari dan Ng Eain Yow.

Masing-masing berumur 19 dan 20 tahun juga penyumbang pingat emas Sukan SEA 2017, tidak perlu risau lagi tentang masa depan pendidikan dengan adanya tawaran biasiswa ini dan kini hanya perlu memberi fokus bermain skuasy sepenuh masa lebih-lebih lagi bagi membuat persiapan terbaik menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun ini.

Langkah bijak SRAM supaya permata skuasy negara tidak lari ke Amerika Syarikat.