Pemain import dari Brazil, Leandro Dos Santos, muncul pemain paling popular menjelang perlawanan akhir Piala FA 2019 di antara Perak dan Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Bukan kerana kemampuannya untuk membantu Perak menjaringkan gol atau keampuhannya mengekang lawan menghasilkan gol, tapi perwatakannya di atas padang menyebabkan Leandro menjadi bualan ramai ketika ini.

Leandro sememangnya dikenali sebagai pemain yang cukup mahir dalam memberikan gangguan emosi kepada pemain lawan menerusi provokasi-provokasi yang dilakukan sepanjang perlawanan.

Walaupun kelihatan amat keji di mata pemain dan penyokong lawan, gaya permainan Leandro terbukti berkesan apabila Terengganu dan Kedah antara pasukan yang menjadi mangsa daripada 'kenakalan' pemain berusia 33 tahun itu sebelum ini.

Dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2015, Leandro menjadi duri dalam daging skuad Lang Merah apabila faktor kelicikannya antara yang membantu gergasi Merah Kuning melunaskan misi 33 Piala Malaysia.

Tiga tahun kemudian, di pentas yang sama, Leandro sekali lagi cetus sensasi apabila menjadi antara watak penting kejayaan Perak menewaskan Terengganu sekali gus mengakhiri kemarau kejuaraan pasukan berkenaan.

'Kenakalan' bekas pemain T-Team itu terus 'menjadi-jadi' musim ini, terbaru ketika perlawanan separuh akhir Piala FA antara Perak dan Pahang apabila jurulatih skuad Tok Gajah, Dollah Salleh, secara terbuka mengakui kekalahan pasukannya antaranya disebabkan kelibat Leandro.

Justeru, tidak hairan perwatakan dan 'lakonan' Leandro terus ditagih pengendalinya, Mehmet Durakovic, kali ini bagi misi merangkul gelaran Piala FA apabila pasukannya bertemu Kedah dalam perlawanan akhir Piala FA 2019.

Secara peribadi saya berasakan gaya permainan Leandro amat menjengkelkan kerana tidak 'sporting' selain mampu mencetuskan pergaduhan dalam perlawanan, namun itulah bola sepak di mana setiap pemain mempunyai karakter masing-masing.

Malah, Leandro adakalanya dianggap sebagai pemain yang bijak kerana 'kenakalan' itulah yang akan membantu pasukan mencapai kejayaan. Jadi, saya sejujurnya tidak sabar mahu melihat kelibatnya dalam aksi final nanti.