Liverpool, yang masih belum tewas musim ini, berada di laluan untuk bergelar juara Liga Perdana Inggeris buat julung kalinya tanpa sebarang masalah.

Bagaimanapun, itu bukanlah satu kepastian jika mengambil kira kisah musim lalu yang menyaksikan The Reds dipintas Manchester City dalam perebutan bergelar yang terbaik di England sekalipun selesa memimpin liga pada satu ketika.

Akan tetapi, kegagalan jelmaan terhebat Liverpool membelasah pasukan terburuk dalam sejarah Manchester United membuktikan anak buah Jurgen Klopp itu tidaklah begitu luar biasa.

Perlawanan di Old Trafford lewat malam tadi waktu Malaysia berkesudahan seri 1-1 susulan jaringan Marcus Rashford dan Adam Lallana.

Keputusan seri itu nampaknya lebih mencalar ego Liverpool berbanding United yang sudah menerima realiti mereka bukan lagi gergasi bola sepak Eropah.

Praperlawanan, legenda dan pengurus United, Ole Gunnar Solksjaer, membisikkan satu kenyataan bahawasanya seteruk mana era kegelapan United, The Red Devils tidak perlu menanti sehingga 30 tahun untuk kembali bergelar juara Liga Perdana Inggeris.

Dan saya dengan segala hormatnya bersetuju dengan Encik Solksjaer.

Itupun kalau pemegang taruh yang memiliki Manchester United boleh bersabar dengan fasa peralihan ini dan memastikan buat kali pertama, seorang pengurus diberi masa sewajarnya untuk merealiasikan visi dan misi bertunjangkan bakat muda daripada akademi seperti Sir Alex Ferguson dan "The Class of 92".

Untuk penyokong Liverpool, tidaklah anda perlu terasa hati dengan perkongsian picisan ini memandangkan pada hemat saya, Liverpool sudah berada di kelas berbeza.

Jika momentum baik diteruskan sehingga Mei 2020, maka saya berasakan ia takdir untuk anda meraikan kejayaan menamatkan kemarau kejuaraan Liga Perdana Inggeris bersama pasukan kesayangan anda.

Jika tidak, tak mengapalah, kalau boleh bersabar untuk 30 tahun, mengapa tidak untuk setahun lagi.