"Tak perform, buat apa saya nak simpan?" Itu luahan pemilik baru TRW, Norizan Tukiman, selepas ditanya pihak media mengenai perancangannya bersama pasukan Kelantan.

Kenyataan tanpa berselindung itu dilihat cukup berani oleh Norizan yang merupakan 'orang baru' di dalam arena bola sepak negara. Dayang cukup selesa melihat kejujuran Norizan yang tanpa segan silu menegaskan bahawa setiap pemain akan dinilai berdasarkan prestasi semasa mereka.

Penantian lima bulan gaji tertunggak oleh pemain-pemain dan pihak kejurulatihan Kelantan akhirnya terlerai apabila Norizan menjadi pemilik baru melunaskan sebahagian gaji dan selebihnya akan diselesaikan secara berperingkat.

"Saya dah berkorban, jadi jurulatih dan pemain juga harus berkorban," tegas Norizan yang secara tidak langsung menyatakan bahawa barisan kejurulatihan dan pemain perlu mendapatkan keputusan baik di atas padang. Sewaktu Norizan mengambil alih TRW, Kelantan masih mempunyai baki enam perlawanan dan individu yang berasal dari Johor itu meletakkan sasaran Kelantan kembali layak ke Liga Super.

Walaubagaimanapun, usaha Kelantan sedikit terbantut apabila mereka sekadar seri tanpa jaringan menentang Selangor II biarpun pasukan lawan hanya bermain dengan 10 pemain dan Kelantan dihadiahkan sepakan penalti yang gagal disempurnakan.

Dalam pada itu, pengendali Kelantan, Yusri Che Lah, mahu anak-anak buahnya kembali fokus dengan aksi di atas padang dan membuktikan kepada pemilik kelab bahawa pembelian TRW adalah sesuatu yang berbaloi.

Dayang melihat usaha yang dilakukan oleh Norizan Tukiman secara keseluruhan amat membantu pihak FAM dalam penswastaan liga di masa akan datang. Diharapkan ada lebih ramai individu atau pun syarikat yang berkemampuan mahu menaja pasukan-pasukan di Liga Malaysia agar pembangunan akar umbi boleh mencapai kemajuan yang diharapkan.