Saingan Piala Malaysia 2016 berlangsung penuh dramatik dengan Kedah muncul juara buat kali kelima selepas menewaskan Selangor menerusi penentuan penalti apabila perlawanan sepenuh masa terikat 1-1.

Kejayaan ini memadam duka tahun sebelumnya di mana dua jaringan Ahmad Hazwan Bakri melunaskan 'Misi 33' buat skuad gergasi merah.

Kali ini Hazwan sekali lagi menemui sentuhan jaringan cuma kisahnya berbeza apabila pemain Kedah, Rizal Ghazali curi tumpuan.

Selain memperoleh gol buat Kedah sepanjang 90 minit perlawanan, Rizal tunaikan tanggungjawab dengan sempurna apabila menyempurnakan penalti kemenangan selain dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

Kini sudah pasti pemain yang berada di dalam senarai untuk saingan Piala Suzuki AFF 2016 mahu meneruskan rentak ini bersama pasukan kebangsaan pula.

Ini juga berikan kepuasan tersendiri buat pengendali Kedah, Tan Cheng Hoe apabila melengkapkan koleksi kejuaraan Piala Malaysia sebagai pemain dan juga jurulatih.

Tahun 1990 memberikan gelaran Piala Malaysia sulung buat Kedah dengan Cheng Hoe merupakan sebahagian daripada skuad juara itu.

26 tahun kemudian pada edisi ke-90 kejohanan, Cheng Hoe lengkapkan kejayaan yang jarang dapat dikecapi jurulatih-jurulatih lain.

Manakala buat Selangor, nyata tuah tidak memihak skuad kendalian jurulatih sementara, K. Gunalan selepas harungi musim yang cukup sukar sepanjang 2016.

Persembahan kurang konsisten menyaksikan pemecatan Zainal Abidin Hassan dan diharapkan pengurusan pasukan dapat membuat keputusan segera mengenai pengganti pengendali itu bagi hadapi musim baharu.

Kejayaan pasukan Kedah ini menutup musim bola sepak domestik dengan fokus beberapa pasukan kini sudah pasti memburu pemain serta mempersiapkan pasukan agar tidak lagi kecewa pada 2017.

Penulis harapkan kerancakan saingan bola sepak tempatan ini akan berterusan apabila musim baharu bermula dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Penutup kata, tahniah diucapkan kepada Kedah atas kejayaan menjuarai Piala Malaysia 2016.

(Kredit imej: Facebook Kedah FA)