Itu persoalan paling besar mengenai kredibiliti suruhanjaya yang diterajui bekas pelari 400m berpagar negara, Noraseela Mohd Khalid.

Adakah mereka tidak dipengaruhi mana-mana pihak untuk membuat keputusan? Sejauh mana bantuan yang dapat mereka hulurkan? Adakah suruhanjaya ini mempunyai kepentingan lain?

Bila diimbas semula perjalanan karier beberapa ahli dalam suruhanjaya ini, ada diantara mereka yang pernah mengalami masalah.

Ada yang tidak mendapat elaun latihan atau digugurkan daripada program.

Ketika itu, tempat mereka mengadu ialah pegawai Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, Majlis Olimpik Malaysia, persatuan sukan, jurulatih, rakan sepelatih dan media.

Bayangkan perkara sama berlaku, tetapi kali ini atlit lain datang mengadu kepada mereka.

Ke mana hala tuju aduan itu? Adakah akan kembali ke tempat sama?

Jika jawapannya YA, maka adakah penubuhan suruhanjaya ini akan berkesan?

Saya ambil perkara ini secara positif kerana belum cuba belum tahu. Malah, suruhanjaya ini baru sebulan ditubuhkan, maka lebih baik beri peluang kepada mereka.

Sekurang-kurangnya ada juga tempat mengadu jika kes doping Datuk Lee Chong Wei, Sazali Samad atau Tai Cheau Xuen berulang.

Tugas mereka bukan saja membabitkan kes doping. Antara objektifnya:

- Mengukuhkan hubungan antara atlit yang masih aktif dengan Majlis Olimpik Malaysia
- Mendengar masalah kebajikan atlit dan memberi nasihat (jalan penyelesaian)
- Mewakili hak atlit dan membuat cadangan sepatutnya
- Mengekalkan perhubungan dengan Suruhanjaya Atlit Majlis Olimpik Antarabangsa

Pada tahun 2003, bekas atlit karate negara, R Puvaneswaran dipilih sebagai ketua atlit lelaki sementara Moh Siew Wei (100m berpagar) mewakili atlit wanita.

Malangnya, program itu tidak begitu berkesan.

Jadi, kali ini dengan kerjasama Majlis Olimpik Malaysia, mungkin Suruhanjaya Atlit mencapai misi untuk membela nasib atlit yang diberi harapan menggembirakan rakyat Malaysia.