Menghadap DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Sultan Ibrahim,

Setinggi-tinggi tahniah kerana diberi mandat sebagai presiden Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) bagi penggal 2017-2021.

25 Mac 2017 merupakan hari istimewa dan peralihan baru untuk bola sepak Malaysia.

Pucuk pimpinan tertinggi FAM beralih dari kerabat diraja Pahang ke kerabat dirajaJohor selepas lebih 30 tahun.

Para peminat bola sepak dan saya sendiri rata-rata majoritinya golongan bawah 40 tahun cukup teruja, suka dan hormat kepada penampilan, karektor dan corak pentadbiran Tunku.

Yakin, bijak, tidak takut untuk mengkritik, berwawasan, baik hati, melindungi kebajikan pemain dan bergaya adalah antara faktor yang mendekatkan Tunku di hati para peminat.

Pada usia semuda 33 tahun, Tunku sudah pun membuktikan keupayaan melakukan transformasi positif dalam arena bola sepak, terutama sekali membawa pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) muncul pasukan nombor 1 Asia Tenggara dengan kejayaan besar seperti Juara Piala AFC 2015, tiga kali berturut-turut Juara Liga Super, Juara Piala FA 2016 dan dua kali Juara Piala Sumbangsih.

JDT kini berada di kelas tersendiri dibandingkan kelab atau pasukan lain dalam Liga Malaysia.

Dari stadium yang gah kepada bas dan jersi pasukan yang ada kelas kepada para pemain JDT yang bergaji besar dan berkereta mewah.

Apapun Tunku, ada juga pengkritik yang sudah mengatakan, ‘Jangan cakap tak serupa bikin’.

Disebabkan status Tunku pada tahap selebriti, saya percaya 30 juta rakyat Malaysia dan dunia bola sepak amnya sudah meletakkan harapan bahawa Tunku akan melakukan perubahan dan merombak corak pentadbiran dan imej FAM serta bola sepak Malaysia secara besar-besaran.

Para peminat sudah jemu dengan isu politik dalaman FAM dan paling penting, mereka mahu di bawah kepemimpinan Tunku sebagai Presiden FAM, pasukan Harimau Malaysia akan meningkatkan prestasi daripada segala aspek dan peringkat.

Saya sudah dapat bayangkan riak wajah Tunku dengan senyuman sinis mengatakan, “Bring it on!”.

Tunku, kami berharap model dan kejayaan membawa pasukan JDT ke tahap antarabangsa dapat diaplikasikan kepada pasukan negara ke peringkat dunia.

Rakyat Johor dan majorti komuniti sukan Malaysia teruja untuk melihat apakah resipi baru yang akan dibawakan oleh Tunku dan ahli jawatankuasa baru FAM supaya sukan bola sepak negara lebih enak dinikmati, dilihat dan didengari.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim -- Presiden FAM, kami tabik dengan ucapan tahniah dan selamat maju jaya!


Peminat TMJ,

Sharon Wee
Pengacara Astro Arena