Kalau disebut nama Superkip ketika ini, saya pasti daripada anak kecil sampailah ke warga emas, semua kenal, Lebih-lebih lagi warga Perak.

Kejayaan yang dilakar bukan sahaja membanggakan, tetapi memahat sejarah sebagai anak Malaysia yang pertama memenangi salah satu pusingan dalam saingan Moto3. Bak kata seorang teman, "bukan selalu kita dapat lihat budak melayu titik orang putih !"

Alhamdulillah Astro Arena diberikan peluang menemuramah secara ekslusif bersama Khairul Idham Pawi, dan saya diberikan tanggungjawab untuk menemuramah beliau. Dalam saya gembira dan bersyukur kerana diberikan peluang bertemu dengan juara antarabangsa itu, bibit juga perasaan berdebar.

Disebalik karektornya sebagai pelumba motorsikal profesional, Khairul masih lagi seperti remaja lain, tetapi tuturnya katanya kini sudah menampakkan kematangan Berbanding awal kemunculan pada tahun 2012, Khairul sudah tidak segugup dahulu apabila berhadapan dengan media, cuma kadangkala pelat "r" masih terdengar.

Awal perbualan saya dengan Khairul, soalan yang diajukan saya apakah perkara pertama yang dilakukan Khairul ketika melintasi garisan penamat di Litar Termas de Rio, Argentina tempoh hari, ini jawabnya,

" Gembira bila tahu dah menang, seronok, tapi bila dapat tahu saya orang Malaysia pertama menang naik podium tempat pertama, rasa macam tak percaya, saya terus hubungi mak saya, mak saya cakap tahniah je pada saya!"

Antara yang sempat saya bertanyakan lagi, Khairul ketika ini dibimbing oleh Shinya Nakano dan Tadayuki Okada. Bagi peminat sukan permotoran, kedua dua nama ini bukanlah asing kerana mereka merupakan bekas pelumba dari Jepun yang pernah beraksi dalam saingan MotoGP. Okada pernah beraksi bersama Repsol Honda antara tahun 1996 sehingga tahun 2008, manakala Shinya Nakano pernah mewakili beberapa pasukan sepanjang kariernya di MotoGP antaranya Tech 3 Yamaha, Kawasaki dan Konica Minolta Honda.

Bagi yang masih ingat pada tahun 2000 bagi kelas 250cc, Nakano pernah bersaing untuk merebut kejuaraan Grand Prix musim itu namun tewas kepada rakan sepasukan Olivier Jacque dan berpuas hati meraih tempat kedua secara keseluruhan. Jadi disini sahaja kita sudah tahu Khairul dibimbing dan dilatih dengan tenaga pakar yang berkaliber.

Kerap kali juga dalam pertemuan itu, Khairul mengulangi" Untuk jadi pelumba, kena pilih pasukan yang betul, kena fikir masak masak, jangan silap pilih pasukan"

Pemilihan pasukan amatlah penting dalam menentukan hala tuju seseorang pelumba, kerana tidak semua pasukan mementingkan perkembangan dan pembangunan karier pelumba. Khairul yang sudah lama bersama pasukan Honda amat berpuas hati dengan layanan dan program pembangunan yang disediakan Honda untuk dirinya.

Berbanding dengan pelumba terdahulu, Khairul berpendapat pelumba pada masa kini lebih mudah untuk mendapat peluang untuk maju. Yang membezakan adalah semangat dan visi yang mahu digapai.

Bagi Khairul, dia tidak mahu terburu buru dalam mengejar cita-citanya untuk beraksi dalam saingan peringkat tertinggi iaitu MotoGP, sebaliknya mahu menjalani program pembangunan yang telah diaturkan pasukannya sebelum beralih ke peringkat lebih tinggi. Masuk untuk bertanding tiada masalah, tetapi Khairul mahu masuk dalam keadaan dia sudah bersedia dan meraih kejayaan yang membanggakan.