Ole Gunnar Solskjaer mencetuskan harapan buat peminat Manchester United sewaktu mula memegang jawatan pengurus sementara musim lalu.

Dia mencipta rentetan kemenangan untuk membuatkan peminat di Old Trafford yakin tindakan membawa masuk legenda The Red Devils itu menggantikan Jose Mourinho adalah tepat.

Lebih manis, dia mengemudi pasukannya bangkit di Paris untuk menyingkirkan PSG ketika pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah sebelum terkandas dalam suku akhir.

Namun, tiada siapa menyangka sumpahan buat bekas penyerang dengan jolokan ‘Baby Assassin’ itu bermula dari Parc Des Princes.

Sejak 7 Mac lalu, selepas dinamakan selaku pengurus tetap, Solskjaer gagal memastikan United mencipta sebarang kemenangan di luar Old Trafford dalam semua pertandingan.

Malah, selepas mengharungi sembilan aksi Liga Perdana Inggeris 2019-20, United dikejutkan dengan kekalahan di tangan West Ham dan Newcastle United di laman lawan, sekali gus mengheret rekod buruk itu hampir lapan bulan.

Bagaimanapun, badi itu berakhir awal pagi tadi apabila United menundukkan Partizan Belgrade 1-0 dalam saingan Liga Europa di Serbia.

Walaupun United terpaksa mengharapkan jaringan daripada sepakan penalti Anthony Martial untuk menamatkan penantian itu, diharapkan ia mampu menjadi titik kebangkitan buat bekas juara England itu.

Justeru, pertemuan dengan Norwich City di Carrow Road hujung minggu ini pastinya menghadirkan semula harapan dalam jiwa peminat United, mengharapkan bermulanya episod kemenangan yang sudah lama hilang.