Pemecatan Craig Shakespeare daripada jawatan pengurus Leicester City harus bukan memeranjatkan – ia sekadar meneruskan satu sumpahan yang sudah berlarutan sejak sekian lama.

Shakespeare disingkirkan sejurus pasukannya seri 1-1 dengan West Brom, Isnin lalu, mengembalikan memori silam terhadap “Sumpahan West Brom” di mana pengurus Liga Perdana Inggeris (EPL) yang malang, berundur atau diundurkan susulan perlawanan dengan pasukan itu.

Menurut laman web Squawka, Shakespeare adalah pengurus ketujuh dalam EPL yang menghadapi perlawanan terakhir dengan West Brom sepanjang tujuh tahun lalu – dengan enam yang lain turut dipecat selepas berdepan The Baggies.

Chelsea adalah pasukan yang paling terkesan dengan sumpahan itu, dengan dua pengurusnya dipecat dalam tujuh bulan gara-gara kekalahan di The Hawthorns.

Andre Villas-Boas adalah yang pertama disingkirkan berikutan kekalahan 1-0 pada Mac 2012 meninggalkan pasukannya dalam keadaan cacamarba tetapi penggantinya, Roberto Di Matteo – bekas pengurus West Brom – dipecat pada November 2012 selepas berhempas-pulas untuk mengulangi kecemerlangan memenangi Liga Juara-Juara hanya beberapa bulan sebelum itu.

Sambil Chelsea mengalami paling banyak pemecatan, pengurus Brighton and Hove Albion ketika ini, Chris Hughton, memiliki rekod tidak diingini selaku pengurus yang dua kali dipecat selepas perlawanan-perlawanan menentang West Brom.

Di sebalik menduduki tangga ke-12 dalam Liga Perdana pada Disember 2010, Hughton dipecat selaku pengurus Newcastle United susulan kekalahan 3-1 kepada West Brom – cukup untuk menimbulkan kemarahan pemain-pemain dan penyokong.

Pada April 2014, dengan pertarungan mengelak relegasi Liga Perdana semakin sengit, kekalahan 1-0 Norwich kepada West Brom menyaksikan The Baggies meloncat mengatasi Norwich, yang semakin berdepan bahaya untuk disingkirkan hingga menyaksikan Hughton kehilangan jawatannya.

Pada Februari 2012, pengurus Wolverhampton Wanderers ketika itu, Mick McCarthy, dilanda nasib malang dipecat susulan satu perlawanan menentang musuh Midlands, West Brom, dengan kekalahan 5-1 di Molineux menyaksikan pasukannya tergelincir ke zon relegasi berdasarkan perbezaan jaringan.

Paolo Di Canio hanya bertahan enam bulan selaku pengurus Sunderland pada 2013 dan bermain sekali menentang West Brom.

Kekalahan 3-0 di The Hawthorns seterusnya menyaksikan Sunderland mengharungi lima perlawanan tanpa sebarang kemenangan pada permulaan musim Liga Perdana, cukup untuk Di Canio ditunjukkan jalan keluar.

Selepas hampir tiga tahun terhindar daripada sumpahan itu, Mike Phelan adalah pengurus berikutnya yang dipecat berikutan satu perlawanan menentang West Brom, dengan kekalahan 3-1 pada permulaan 2017 meninggalkan Hull City terkial-kial di tangga terbawah Liga Perdana.

Sembilan bulan kemudian berlanjutan tanpa sesiapa menjadi mangsa “Sumpahan West Brom” tetapi malang buat Shakespeare, keputusan seri dengan The Baggies melenyapkan sebarang kesabaran keluarga Srivaddhanaprabha untuk terus meletakkan kepercayaan kepadanya.

Bersambung: Koeman, Bilic tunggu giliran dipecat