Mohamadou Sumareh terhutang budi dan sayang kepada Malaysia terutamanya negeri Pahang yang menerimanya dengan penuh bangga.

Selesa berinterikasi dengan komuniti tempatan, ia antara faktor pemain bola sepak yang berasal dari Gambia itu memilih Malaysia sebagai negara dan rumahnya.

Pahang nyata diselubungi berita baik dengan pemasyhuran Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai Sultan Pahang keenam dan baginda juga akan ditabalkan Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Lebih manis, peminat bola sepak Pahang juga gembira penyerang prolifik pasukan itu, Sumareh, disahkan akan mengambil tempat sebagai pemain tempatan.

Sumareh, pemain naturalisasi asing pertama negara berhijrah dari Gambia pada 2004 ketika berusia 13 tahun.

Dia yang juga bekas pelajar Sekolah Antarabangsa Maz dan Kolej Segi menyahut cabaran beraksi buat Harimau Malaya pada 12 Oktober 2018 ketika aksi persahabatan antarabangsa lawan Sri Lanka.

Pemain 24 tahun ituyang membawa kejuaraan Piala FA tahun lalu untuk Pahang, juga terpilih oleh pengendali kebangsaan Tan Cheng Hoe, untuk mewakili Malaysia dalam Kejohanan Piala Suzuki AFF 2018.

Dia yang dikritik dan dituduh sebagai pengkhianat kepada negara asalnya, Gambia, tidak mahu perkara negatif itu meleburkan semangatnya bagi memberi yang terbaik kepada negara barunya, Malaysia.

Tugas Sumareh buat Tok Gajah pada musim baru ini adalah memperbaiki kedudukan tangga ke-4 Liga Super tahun lalu, dengan harapan kembalikan kegemilangan bola sepak Pahang yang pernah menggondol kejuaraan Liga Super 5 kali, Piala Malaysia 4 kali, Piala FA 3 kali dan Piala Sumbangsih 3 kali.