Nampak macam susah tapi bukan mustahil! Itu yang boleh dikatakan mengenai peluang skuad muda negara untuk mara jauh dalam Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun (B-23) di China, Januari depan.

Skuad negara bimbingan Datuk Ong Kim Swee diundi bersama tiga pasukan gergasi Asia Barat iaitu Iraq, Jordan dan Arab Saudi dalam Kumpulan C dilihat sebagai laluan yang cukup berliku.

Iraq dan Arab Saudi antara dua pasukan pilihan selepas hadir dengan reputasi juara dan naib juara edisi pertama 2013 di Oman, ketika itu kejohanan ini dianjurkan di bawah peringkat umur 22 tahun.

Meskipun Iraq gagal mempertahankan kejuaraan pada 2016 yang dimenangi Jepun, mereka tetap dianggap hebat apabila muncul juara kumpulan B dalam saingan kelayakan, tempoh hari.

Menariknya, Iraq yang meraih tempat ketiga dalam kejohanan tahun lalu mengetepikan Arab Saudi yang layak ke pusingan akhir di China menerusi slot naib juara terbaik di peringkat kelayakan.

Ketika itu, Iraq menumpaskan Arab Saudi 2-0 dan kedua-dua pasukan ini sekali lagi akan berentap seawal peringkat kumpulan, sekaligus menyaksikan satu pertembungan menarik yang bakal disajikan.

Jordan turut layak ke pusingan akhir selepas muncul naib juara Kumpulan E tatkala Malaysia melangkah ke pentas ini buat julung kalinya selepas menjadi juara Kumpulan H.

Imbas kembali ketika kempen kelayakan di Bangkok Julai lalu, anak buah Kim Swee menumpaskan Indonesia 3-0 dalam aksi pertama, namun tewas kepada Thailand 3-0 dalam perlawanan kedua sebelum menewaskan Mongolia 2-0 dalam perlawanan terakhir.

Ketika itu juga lah, nama-nama seperti N. Thanabalan, Adib Zainuddin, Akhyar Rashid, Irfan Zakaria dan Danial Amier Norhisham mula meniti di bibir peminat tahah nair tatkala nama Adam Nor Azlin, Jafri Firdaus Chew dan Syafiq Ahmad terus melonjakkan.

Sememangnya, tugas sukar menanti skuad muda negara untuk melepasi halangan peringkat kumpulan berdasarkan reputasi hebat lawan, namun pada hemat penulis, tidak mustahil mereka mampu menghadirkan saingan sengit dalam usaha melangkah ke pusingan seterusnya.

Jordan mungkin lawan yang mampu diatasi skuad negara tetapi Arab Saudi dan Iraq, perlu ada strategi tertentu untuk Malaysia melakukan kejutan dengan membuka kempen Kumpulan C di Changsu bertemu Iraq pada 10 Januari diikuti Jordan (13 Januari) dan Arab Saudi (16 Januari).

Persediaan perlu bermula dari sekarang. Ia pentas berbeza kerana kita tidak mahu Malaysia menjadi pasukan belasahan dalam kejohanan itu nanti. Pemain-pemain negara perlu diberi pendedahan beraksi seperti di China, mungkin Korea Selatan adalah lokasi terbaik untuk melakukan persiapan.

Namun, faktor siapa lawan juga harus diambil kira, justeru skuad muda negara juga perlu diuji dengan beberapa pasukan dari Asia Barat untuk membiasakan diri dengan corak permainan dari negara itu.

Apa pun, inilah peluang terbaik buat skuad muda negara mengutip pengalaman berharga beraksi dengan pasukan-pasukan handalan Asia dan apa yang lebih penting, buktikanlah sesuatu untuk mengembalikan keyakinan peminat terhadap bola sepak negara!