Skuad wanita negara melayakkan diri ke perlawanan akhir hoki wanita Sukan SEA 2017 apabila menewaskan Thailand 3-0 dalam perlawanan ketiga peringkat round robin, semalam.

Malaysia akan turun menentang Myanmar jam 6 petang ini di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Apapun, perlawanan terakhir ini dikira hanya sebagai pelengkap jadual.

Walaupun menguasai tiga perempat permainan, Malaysia agak payah merobek benteng pertahanan pasukan Thailand. Dalam Sukan SEA Singapura 2015, pasukan wanita negara menewaskan Thailand 4-0.

Taktikal bertahan, Thailand yang menggunakan dua penyerang serta meletakkan lebih seorang pemain di bahagian midfield menjadi dalam misi mereka tidak mahu dibolosi banyak gol.

Mereka juga sentiasa mempunyai "numbers" di dalam kawasan D mereka sebaik sahaja circle penetration dilakukan, menyebabkan skuad Thailand berjaya mengekang serangan skuad wanita negara.

Agak genting suasana kem negara apabila buat pertama kalinya dalam tiga perlawanan, mereka gagal menjaringkan sebarang gol dalam dua suku yang pertama walaupun mendapat beberapa pukulan sudut penalti dan beberapa peluang menjaringkan gol padang menerusi Hanis Nadia Onn, Siti Nur Amarina
Ruhani serta Nuraini Abd Rashid.

Sehinggalah minit ke-31, Hanis Nadia menjaringkan gol pertama di atas kesilapan besar dan mudah dilakukan oleh Siraya Kimkrajang, penjaga gol Thailand.

Kelegaan kem Malaysia jelas terpancar apabila pukulan penalti dihadiahkan dan disudahkan oleh Nuraini Abd Rashid pada minit yang ke-39. Pada minit ke-51, Surizan Awang Noh melengkapkan kemenangan skuad negara menerusi gol padang.

Setiap kali Sukan SEA harapan sememangnya tinggi buat skuad nNegara menang setiap perlawanan dengan selesa selaku pasukan ranking dunia paling tinggi di rantau Asean ini.

Daripada dua perlawanan menentang Singapura dan Thailand, jelas skuad negara mempunyai sedikit masalah apabila berhadapan pasukan yang bermain "tight defence".

Bertambah perit apabila pukulan sudut penalti tidak menjadi. Mereka harus mengatasi masalah ini kerana jangkaan saya skuad nNegara akan bertemu antara satu pasukan ini dalam perlawanan akhir nanti untuk pingat emas.

Pasukan yang mereka akan bertemu sudah pasti menggunakan taktikal yang sama.

Penyudahan yang tajam, bateri pukulan sudut penalti wajib melaksanakan tugas serta kerap menggunakan bahagian sayap untuk melakukan circle penetration adalah ramuan yang harus ditingkatkan bagi memastikan skuad wanita negara memenangi pingat emas dengan bergaya nanti.

Sesuai dengan gelaran sebagai gergasi hoki Asia Tenggara. All The Best!