"Awak tahu, tuan punya restoren tu siap belanja saya makan dan minum malah mempelawa saya bersiar-siar di Melbourne, bila saya perkenalkan diri sebagai pelancong dari Malaysia, dia peminat Datuk Lee Chong Wei " kongsi Allan Lee, peniaga dari Petaling Jaya.

Kita bangga, kita kagum, kita kembang hidung, kita itu dan ini bila warga negara asing memuji jaguh skuasy wanita dan pemain perseorangan badminton negara, suatu ketika dahulu.

Pujian itu bisa menghanyutkan kita yang tetap dan masih bergayut dengan kejayaan silam kedua - dua ikon sukan negara itu.

Sememangnya diakui, Datuk Nicol David serta Datuk Lee Chong Wei telah mencipta fenomena yang mengejutkan dunia sukan, dalam tempoh yang bukan kepalang lamanya. Kita wajar bangga dan dipuji, walhal kita bukannya atlit sukan pun, cuma berkongsi warganegara yang sama.

Tetapi sampai bila kita harus bergayut dan terus lena seperti tidak mahu lagi bangkit ? Perkara yang paling ditakuti kini sudah mula menjelma dan menampakkan diri.

Kalau dulu bila jaguh sukan Rali, Karamjit Singh tiada pengganti dalam arena sukan lumba kereta lasak, kita masih lagi boleh sembunyi diri.

Tetapi kini terang-terangan 2 ikon sukan negara, Nicol dan Chong Wei sudah hampir berkarat dan karier sukan mereka semakin menemui noktah. Bukan salah keduanya kerana tiada yang kekal malah kudrat Nicol dan Chong Wei tidak lagi mengizinkan.

Kita harus terima kerana itulah hakikatnya. Tetapi apakah kita hanya berserah kepada takdir ! Alah..biarlah lagi 10 tahun lagi ada la tu pengganti, jangan risau. Kita ada program jangka panjang, lagi pun bajet lebih besar !

Inilah sikap kita yang suka berlengah, tidak ambil peduli dan suka bergayut. Malas lah nak bandingkan kita dengan negara-negara lain yang membiak atlit macam esok tiada lagi Piala Dunia. Seperti esok adalah temasya terakhir Sukan Olimpik di planet bumi.

Belum pun lama bertakhta di puncak dunia, ada rakan senegara mahu mencabar. Kita ? 9 tahun Nicol David berada di ranking pertama, yang nombor 2 masih terkial - kial belajar pegang raket.

Bertahun Lee Chong Wei dijaja selaku pemain nombor 1 dunia, yang nombor 2 masih lagi sibuk canang kejuaraan Terbuka Seremban yang dimenangi.

Kita harus cepat selamatkan sukan negara. Tak guna kita buat program itu dan ini tetapi hasilnya sifar ! Bajet berjuta tetapi pulangannya sepuluh sen !

Jangan sampai orang luar cakap - Sukan Malaysia Haprak, baru berdesing telinga kau!