Seakan sudah menjadi ikutan semasa, penglibatan Malaysia dalam mana-mana temasya akan disertakan sasaran pingat.

Apatah lagi kejayaan luar biasa dengan pungutan pingat yang jauh lebih tinggi berbanding sasaran sebenar di pentas Sukan SEA Kuala Lumpur. Maka tidak hairanlah ramai yang resah, apa petunjuk prestasi utama ( KPI ) yang menanti penglibatan atlet dalam Sukan Komanwel Gold Coast, April ini dan pengumuman untuk hanya fokus berada di kedudukan 10 terbaik jelas menimbulkan reaksi yang pelbagai.

Positif atau negatif, kemampuan kontinjen negara yang diketuai chef-de-mission (CDM), Huang Ying How, tidak wajar diperkecilkan sebelum berjuang. Jika faktor usia menjadi penyebab untuk segala keputusan dibuat seperti menjaga anak kecil yang manja, kebanyakan atlet muda ini sudah membuktikan ketahanan masing-masing dengan kelayakan merit, persaingan di pentas dunia dan sebagainya.

Sasaran kedudukan keseluruhan mungkin sahaja kedengaran janggal namun jika bersandarkan faktor ini, edisi 1998 di Kuala Lumpur mampu menjadi penanda aras. 1001 kejayaan boleh dibanggakan pada penganjuran Malaysia selaku negara Asia pertama yang menghimpunkan negara-negara Komanwel. Program Jaya 98 yang diusahakan Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Wira Mazlan Ahmad, selama lima tahun berjaya mencapai matlamat yang diletakkan setahun awal. Malaysia menamatkan kempen di kedudukan keempat selepas meraih 10 pingat emas, 14 pingat perak dan 12 pingat gangsa untuk keseluruhan 36 pingat, secara automatik berada dibelakang tiga negara hebat, Australia, England dan Kanada.

Tidak perlu rasanya mengundur terlalu jauh, cukup sekadar lima edisi terkini Sukan Komanwel sahaja. Sebenarnya Malaysia tiada masalah untuk berada di tempat ke-10 kerana setakat ini hanya di Glasgow 2014, Malaysia terkeluar daripada kelompok 10 terbaik apabila tamat di kedudukan ke-12. Edisi ini dilabel terburuk berbanding empat yang lain kerana hanya mencapai enam pingat emas, gagal mengulangi pencapaian di Manchester dan Melbourne yang menyamai sasaran awal tujuh pingat emas.

Empat tahun sebelum itu, Malaysia mempertaruhkan 200 atlet ke Delhi, India untuk mencapai 10 pingat emas. Sebaliknya sejarah dicipta apabila 12 pingat emas dihadiahkan kontinjen negara yang ketika itu Tan Sri Abdul Halil Abd Mutalif bertindak selaku CDM. Begitu pun, kejayaan yang belum pernah dikecapi sepanjang penyertaan Malaysia dalam Sukan Komanwel ini sekadar menyaksikan Malaysia meamatkan cabaran di kedudukan ketujuh, tidak juga lebih baik berbanding apa yang diraih di Kuala Lumpur yang kurang dua pingat emas.

Jadi, sasaran pungutan pingat atau kedudukan keseluruhan lebih baik? Tepuk dada tanya selera. Bagi saya, apa juga bentuknya biarlah yang relevan agar kita tidak jadi jaguh kampung yang bermegah-megah dengan kejayaan dalam kalangan kita sahaja. Tidak salah juga rasanya meletakkan sasaran ini lebih awal, agar masing-masing sempat menghadam dan saling membantu mencapai tujuan.