Sukan bukan sahaja tertumpu kepada atlet tetapi melibatkan elemen-elemen lain yang berkaitan dalam industri sukan seperti usahawan, jurulatih, doktor sukan, pengacara sukan mahupun daripada segi sosial iaitu gaya hidup sihat dan platform perpaduan serta kelab bola sepak, program sukan di sekolah dan banyak lagi.

21 negara dari Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) menyambut baik agar sukan dijadikan topik penting dalam persidangan kemuncak setiap tahun yang dihadiri oleh ketua kerajaan setiap negara ahli.

Pada 12 hingga 13 Oktober baru-baru ini, Jawatankuasa Olimpik Chinese Taipei dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Chinese Taipei serta Majlis Olimpik Asia dan juga majlis tertinggi sukan negara hadir berkumpul untuk 2017 APEC International Conference on Women and Sports di Chinese Taipei.

Tujuannya untuk mengumpulkan pemimpin sukan daripada pelbagai latar belakang dan organisasi untuk memberi pandangan bagaimana sukan akan terus menaikkan ekonomi sesebuah negara serta menjadikannya sebagai platform kerjaya, disamping menjaga kebajikan atlet terutamanya atlet wanita.

Saya amat berbangga dijemput semula mewakili Malaysia dalam persidangan ini selepas kali pertama menyertai persidangan 2017 APEC Linking Education and Start-up: Youth, Women and Athletes di Ho Chi Minh, Vietnam pada Mei lalu.

Sebagai individu yang aktif dalam industri sukan, saya setelah memberi pandangan dan menceritakan kisah sebenar pengalaman sebagai seorang atlet, khususnya atlet wanita dan cabaran mencari kerjaya selepas itu serta kaedah menghadapi realiti kehidupan selepas sukan.

Positifnya dalam persidangan ini, cadangan mengenai polisi sukan yang realistik dapat memberi impak kepada komuniti sukan seperti ekonomi, kerjaya, kebajikan atlet, media, penganjuran sukan, latihan dan banyak lagi dibincangkan dan akan diketengahkan kepada ketua-ketua kerajaan.

Persidangan yang menarik minat hampir 200 pemimpin mahupun golongan belia membuka mata komuniti sukan bahawa sukan amat meluas dan tidak membezakan hak lelaki mahupun wanita.

Pelbagai polisi dibincangkan untuk menggalakkan penglibatan kaum wanita dalam industri sukan serta bagaimana sukan itu dapat membantu dalam meningkatkan ekonomi negara serantau.

Antara topik penting adalah kerjaya atlet selepas sukan.

Perbincangan hangat berlangsung antara para peserta kerana kebanyakan mereka pernah melalui cabaran transisi menjadi seorang atlet ke dunia baru korporat.

Antara idea-idea bernas adalah menyediakan program-program kepimpinan, pembangunan diri, vokasional, komunikasi, menjaga kewangan, keseimbangan gaya hidup dan skil bekerja di organisasi korporat.

Persidangan sebeginilah yang akan memastikan polisi-polisi sukan yang relevan dapat memberi peluang dan menyediakan platform kepada komuniti sukan memperkembangkan diri mahunpun program dan sukan tertentu.

Apapun kebanyakan komuniti yang cintakan sukan, tidak mahu sukan diperkotak-katik oleh komuniti dunia kerana sukan penting dalam menentukan kemajuan ekonomi sesebuah negara, memberi inspirasi kepada masyarakat, platform gaya hidup aktif dan sihat, serta penting untuk menyatukan sesebuah negara mahupun dunia.