Pertembungan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Presiden Persatuan Kanu Malaysia, Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin untuk jawatan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), 29 Jun ini cukup menarik.

Ia bukan soal merebut jawatan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) tetapi peperangan ini lebih besar daripada itu.

Maruah dan perjuangan politik dibawa bersama kerana Khairy masih berpegang kukuh bersama parti politiknya sementara Megat dikaitkan dengan individu kenamaan negara.

Soalnya, adakah perjuangan ini demi atlit paralimpik atau maruah politik?

Kerap kali kita mendengar frasa 'jangan kaitkan politik dalam sukan'.

Tetapi adakah arena sukan negara mampu bergerak sendiri tanpa pengaruh politik?

Siapa Menteri Belia dan Sukan Malaysia?

Dari mana datangnya dana untuk agensi sukan negara?

Siapa pegawai persatuan sukan kebangsaan yang bebas politik?

Sedar atau tidak, sukan Malaysia banyak dikuasai ahli politik. Saya perlu mengakuinya walaupun tidak gemar dengan perkataan itu.

Tidak kira Khairy atau Megat, mohon utamakan sukan dahulu.

Jangan jadikan MPM batu loncatan untuk apa-apa tujuan kecuali sukan kerana badan induk itu memayungi insan istimewa negara.

Mereka semua luar biasa, pernah, sedang dan bakal menggegar dunia sekali lagi.