Sebaik-baiknya diberitahu kepada pengurus Manchester United, Erik ten Hag, agar menghentikan sahaja usaha memburu pemain tengah Barcelona, Frenkie De Jong.

Sudah berbulan-bulan lamanya berita tentang pemain itu tidak henti-henti dibicarakan tanpa sebarang hasil yang nyata.

Sebagai mengimbas kembali, United terlebih dahulu bergelut untuk mendapatkan persetujuan Barcelona tentang yuran perpindahan yang bersesuaian, sebelum akhirnya mencapai kata sepakat untuk harga £58 juta (RM312 juta).

Memandangkan De Jong merupakan pemain yang dibayar gaji paling tinggi dalam skuad Barca ketika ini dan pasukan mereka berhadapan dengan kemelut kewangan, sebarang keputusan melepaskannya adalah wajar.

Pengurus Barcelona, Xavi, telah berkali-kali menyebut kepada media yang dia benar-benar ingin mengekalkan De Jong tetapi faktor kewangan menyulitkan keadaan dan mungkin memaksanya untuk membuat keputusan sukar.

Barca sebenarnya mempunyai hutang gaji dengan De Jong -- jumlahnya setinggi £14.4 juta (RM77.3 juta) -- dan pemain itu sememangnya keberatan untuk berpindah ke mana-mana selagi tunggakan itu belum dilunaskan.

Hakikat bahawa ten Hag adalah bekas pengurus De Jong sewaktu di Ajax Amsterdam kelihatan tidak cukup kuat untuk memujuknya berhijrah ke England dan memulakan kerjaya baru bersama kelab baru.



Menurut laporan The Athletic, biarpun kedua-dua pemain dan pengurus berkenaan pernah mengecapi kejayaan manis bersama, hubungan di antara mereka tidak lebih sekadar hubungan profesional semata-mata.

Selain itu, menurut laporan laman sesawang sport.es, ada beberapa faktor peribadi yang menyulitkan De Jong untuk berpindah ke negara lain.

Pertama sekali, dia telah membeli sebuah rumah di daerah Pedralbes, Barcelona -- kawasan yang diinginkan ramai dan rumah itu berharga tinggi, menandakan niatnya untuk kekal lama di Sepanyol.

Kedua, teman wanita De Jong, Mikky Kiemeney, dilaporkan amat bahagia hidup di Barcelona dan menyenangi segala yang ada di sana.

Perpindahan ke England diramalkan boleh menimbulkan konflik di antara pasangan itu, sesuatu yang tentunya tidak diingini.

Faktor ketiga melibatkan impian -- De Jong telah lama mengimpikan untuk mengikut jejak langkah pemain-pemain legenda Belanda seperti Johan Cruyff dan Frank Rijkaard yang beraksi cemerlang bersama Barca dan tidak pernah mempunyai motivasi untuk beraksi di United.

Faktor terakhir pula adalah sesuatu yang diketahui ramai -- peluang bermain dalam Liga Juara-Juara UEFA (UCL).

Terus kekal di Barcelona adalah pilihan utama De Jong. Namun, jika ditakdirkan dia harus berpindah ke England, dia dikatakan lebih rela menyertai Chelsea yang mempunyai struktur kelab lebih stabil dan boleh beraksi dalam UCL, berbanding United yang masih dalam proses pembentukan semula.

Malangnya, seperti yang dibicarakan dalam artikel yang lepas, urus niaga di antara Chelsea dan Barcelona merupakan sesuatu yang diramalkan sukar untuk berlaku pada ketika ini, gara-gara Chelsea cukup bengang akan tindakan Barcelona merampas pemain-pemain yang mereka sasarkan.

Dari mulut De Jong sendiri, dia dikatakan cukup tidak gembira dengan agenda pihak tertentu yang tidak berhenti-henti mengaitkannya dengan United sedangkan dia tidak pernah sekali pun diberitahu tentang apa yang berlaku di sebalik tabir mahupun melontarkan pendapatnya tentang perkara ini.

Di saat ini, jika benar perpindahan ke United berlaku, ia boleh dianggap sebagai satu keajaiban tetapi persoalan yang menyusul adalah bolehkah seorang pemain yang tidak gembira bersama pasukan baru menunjukkan aksi terbaik seperti diharapkan?

Bukankah segala usaha dan drama ini bakal sia-sia sahaja jika De Jong gagal untuk menyesuaikan diri di United, sama seperti apa yang berlaku kepada pemain Argentina, Juan Sebastian Veron, satu ketika dahulu?

Laporan pelbagai sumber media lain mengatakan bahawa ten Hag sudah mula mengintai pemain lain untuk menggantikan De Jong seperti Sergej Milinkovic-Savic daripada Lazio.

Rata-rata penggemar bola sepak telah muak akan ura-ura melibatkan De Jong dan United -- ia seharusnya diakhiri dengan kadar segera.