Hala tuju masa depan Luis Suarez bagaikan ‘roller coaster’ yang bersimpang-siur.

Gelora dan krisis kewangan kelab gergasi Sepanyol, Barcelona, sudah menyebabkan mereka
terpaksa menjual Arturo Vidal dan Nelson Semedo, dan kini Suarez bakal menyusul sebagai pemain
terbaru yang akan meninggalkan Camp Nou.

Motivasi Suarez ternyata tidaklah didorong oleh faktor wang semata-mata kerana menurut
laman sesawang ESPN, dia menolak tawaran untuk berpindah ke Amerika Syarikat dan menjadi pemain dengan gaji tertinggi dalam sejarah Major League Soccer (MLS).

Minggu lalu, dia dikatakan bakal berpindah ke Itali untuk bergandingan dengan Cristiano
Ronaldo, namun kontroversi tercetus apabila dia kini dituduh menipu dalam peperiksaan
bahasa Itali yang wajib diduduki untuk membolehkan pemain memegang pasport negara
tersebut.

Menurut laman sesawang JuveFC, Suarez telah diberikan soalan bocor sebelum peperiksaan
itu bermula dan dia akhirnya lulus dengan cemerlang walaupun hakikatnya dia tidak
mampu bertutur walau sepatah perkataan pun dalam bahasa Itali!

Minggu ini pula, episod drama baru bermula dengan pemain itu dikatakan bakal
berpindah ke seteru ketat Barcelona, Atletico Madrid.

Peminat Barcelona sejujurnya masih diimbau mimpi ngeri apabila bekas pemain mereka,
David Villa, pernah turut sama berpindah ke Atletico Madrid dan akhirnya menjaringkan gol
sewaktu menentang mereka dalam aksi sulungnya bersama kelab tersebut.



Berita perpindahan ini mendorong beberapa pengarah Barcelona mengugut untuk meletakkan
jawatan, apatah lagi hakikatnya adalah Atletico bakal mendapatkan khidmat Suarez secara
percuma, satu urusan yang boleh dianggap bagaikan durian runtuh.

Presiden Barcelona yang menerima kecaman ramai pada musim ini, Josep Maria Bartomeu,
atau lebih dikenali sebagai ‘Nobita’ dalam kalangan peminat nakal, terpaksa campur
tangan dengan mengatakan dia tidak akan sesekali membenarkan Suarez menyertai Atletico,
sebaliknya dia lebih selesa jika Suarez berpindah ke kelab-kelab di negara lain.

Namun berdasarkan laporan laman sesawang Marca semalam, Bartomeu nampaknya sudah
berlembut hati dan perpindahan Suarez bakal berlangsung semula.

Jika dilihat dari sudut pandangan Atletico Madrid pula, mereka telah kehilangan penjaring
utama musim lalu, Alvaro Morata yang dipinjamkan ke Juventus, maka kehadiran Suarez
pastinya menghembuskan nafas baru buat jentera serangan mereka.

Jurulatih ternama kelab tersebut, Diego Simeone, dikatakan telah menghubungi Suarez secara
peribadi bagi meyakinkan penyerang itu yang Atletico merupakan destinasi terbaik bagi
dirinya, sebaik sahaja dia mendapat berita yang Suarez ingin berpindah.

Suarez sendiri hanya mampu menjaringkan 16 gol dalam 28 penampilan bersama Barcelona
musim lalu, namun ketajamannya di hadapan pintu gol ternyata masih mampu
menggerunkan pihak lawan dan kemampuannya tidak harus sesekali diperkecilkan.

Adakah kehadiran Suarez bakal memberikan satu ‘gigitan’ baru buat Atletico Madrid dan Liga
Sepanyol secara keseluruhan?

Ataupun mungkinkah ‘roller coaster’ ini masih belum berakhir luncurannya?