Penyerang antarabangsa Uruguay, Luis Suarez kecewa dengan kritikan yang dilemparkan peminat bola sepak kepada beliau dan rakan-rakan di Barcelona selepas dilihat terlalu lewat membuat keputusan mengenai urusan pemotongan gaji bagi membantu staff kakitangan kelab The Catalan.

Ini bukan kali pertama ianya berlaku kerana banyak kelab-kelab terkenal di liga utama Eropah turut dikecam selepas melakukan pemotongan gaji staff dan kakitangan sedangkan pemain yang mendapat gaji lumayan dilihat tidak terjejas dengan pandemik yang melanda seluruh dunia ini.

Suarez dikhabarkan terkilan kerana netizen tidak henti-henti memaki dan mencaci beliau biarpun sudah bersetuju dengan pemotongan gaji. Suarez merasakan dirinya dinilai dengan tidak adil kerana kelewatan tersebut terjadi adalah disebabkan beliau dan rakan sepasukan di Barcelona mahu mencari penyelesaian terbaik sebelum membuat keputusan.

Ketua pasukan Barcelona, Lionel Messi telah pun mengumumkan bahawa pemain-pemain bersetuju gaji mereka dipotong 70% dalam usaha membantu kelab yang kehilangan pendapatan kerana tiada perlawanan, selain menampung kos pembayaran gaji kakitangan kelab.

Dalam pada itu, selaku figura yang cukup dikenali di negara kelahirannya di Uruguay, Suarez berharap Uruguay dapat mengatasi pandemik covid-19 dan tidak terjadi bala seteruk di Sepanyol. Uruguay baru sahaja mencatatkan kurang dari 400 kes dengan empat kematian. Masih tiada perintah berkurung di Uruguay, tetapi Suarez tetap menasihatkan agar rakyat Uruguay bersedia dengan gelombang kedua dan ketiga wabak covid-19.

Suarez yang masih berada di Sepanyol turut berharap agar negara Sepanyol yang terjejas teruk akibat covid-19 mampu bersatu hati dan bangkit semula mengatasi waktu sukar ini.