Ketika mengetahui Lewis Hamilton meraih kemenangan kelapannya musim ini atas ihsan rakan sepasukan, Valtteri Bottas, penulis terus teringat nasib bekas pemandu Mercedes, Nico Rosberg.

Sebenarnya, arahan pasukan agar pemandunya memberi laluan kepada rakan sepasukan bukan asing dalam Mercedes dan ia sentiasa memihak pengeluar yang berpangkalan di Northamptonshire ini.

Sebelum ini, ia cukup popular diperdebatkan dalam kalangan pengikut setia sukan ini -- membabitkan dua nama besar Formula Satu (F1), Rosberg dan Hamilton, apatah lagi ketika pemandu Jerman dan Britain ini bersaing sengit untuk gelaran juara keseluruhan pada 2016.

Menuju ke penghujung musim, Mercedes terpaksa membuat satu kenyataan bahawa mereka tidak akan campur tangan, waima merencana strategi yang akan memenangkan mana-mana pihak, agar kedua-dua pemandu dan peminat mereka berpuas hati.

Ketika Rosberg ditanya tentang pengorbanan Bottas dalam menuruti arahan pasukan untuk membenarkan Hamilton memintas pada pusingan ke-12, anak kepada legenda, Kaka Rosberg, ini tanpa ragu-ragu bersetuju dengan strategi yang sering digunakan Mercedes ini.

Katanya, kontroversi mungkin hanya diperkatakan dalam tempoh 2-3 minggu sahaja tetapi manfaat daripada kemenangan ketiga Hamilton di Sochi mampu memberi senyuman paling indah pada penghujung musim nanti.

Sebenarnya, Hamilton tidak perlu menanti selama itu untuk terus menyimpan trofi kategori pemandu.
Dua lagi kemenangan melayakkan dia dinobat juara keseluruhan buat kali kelima.

Ketika ini, Hamilton merekod kelebihan 50 mata ke atas Vettel dan pasukannya pula ketinggalan 53 mata kepada Mercedes -- jumlah yang masih relevan untuk satu kebangkitan dramatik Ferrari.

Namun, apakah bentuk kebangkitan yang mungkin dijelmakan oleh jenama terkenal dari Itali ini.

Adakah dengan 'kitar semula' strategi yang menjadi kunci kejayaan Mercedes?