Kisah kapten skuad Bawah 22 tahun, Muhammad Adib Zainudin, yang bakal berhijrah semula ke selatan tanah air musim depan bukanlah satu kejutan.

Penghijrahan dalam bola sepak adalah normal. Apatah lagi Adib memang anak jati Johor.

Bagi mana-mana individu, peluang mencari rezeki dalam ruang lingkup lebih profesional, suasana yang nyaman dengan pendapatan lebih lumayan adalah buruan kehidupan.
Dalam tempoh satu musim, Adib berjaya menaikkan profilnya sekalipun beraksi dalam saingan yang dianggap divisyen tiga bola sepak tempatan.

Bagaimana seorang produk Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Bandar Penawar yang kemudiannya diberi ruang bersama skuad remaja Johor, kemudian mewakili Harimau Muda C dan seterusnya UiTM FC dalam Liga Perdana untuk dua musim hanya beraksi dalam Piala FAM tetapi mengetuai skuad Sukan SEA?

Adib disenaraikan oleh Frank Bernhardt dalam skuad utama Sukan SEA dari awal 2016, untuk latihan pusat, kem latihan dan perlawanan persahabatan membentuk gandingan di bahagian tengah bersama kapten asal, Faris Shah Rosli.

Sama ada perlawanan persahabatan menentang Filipina, Nepal, Bahrain, Brunei, Myanmar mahupun latihan di Chiba, Jepun, nama Adib dan seorang lagi bintang di Sukan SEA 2017, N. Thanabalan memang kunci kepada perancangan Bernhardt.

Namun isunya bagaimana memastikan pemain teras Bernhardt yang berada di luar kelompok Liga Super atau Liga Perdana mendapat pendedahan menerusi perlawanan kompetitif peringkat liga diiringi gaji setimpal menjelang Sukan SEA?

Sekalipun menjadi anggota kesebelasan skuad Bernhardt, gaji Adib dilihat tidak setimpal statusnya sebagai pemain utama barisan Sukan SEA.

Begitu juga Thanabalan yang sekadar beraksi dalam skuad Piala Presiden Negeri Sembilan tanpa banyak diberi peluang mewarnai saingan skuad senior.

Maka tampil Felcra FC di bawah kendalian Yusri Che Lah untuk membuka pintu kepada Adib dan Thanabalan.

Walaupun terpaksa menerima hakikat beraksi dalam Liga FAM, Adib dan Thanabalan diberi peluang beraksi dalam saingan yang kompetitif tanpa memikirkan beban kewangan.

Perancangan strategik ini disahkan oleh penolong Bernhard, Aminuddin Hussin.

“Bahkan kami penolong jurulatih terpaksa meyakinkan Bernhardt bahawa bermain untuk Felcra adalah satu tindakan yang betul supaya Adib dan Thanabalan boleh fokus sama ada dari segi gaji, perkembangan kerjaya dan persiapan ke Sukan SEA,” kata Aminuddin kepada penulis baru-baru ini.

Perancangan strategik di sebalik tabir biasalah adalah satu keperluan dalam mencari kelebihan marginal gains dalam mana-mana disiplin sukan.

Kisah ini adalah satu contoh pengurusan bakat atlet. Dalam dunia serba kompleks dengan hashtag, mengurus kerjaya seorang atlet dari setiap sudut adalah satu cabaran besar.

Hari ini, ramai yang menyanjung keterampilan Adib dan Thanabalan dalam membantu skuad Sukan SEA meraih pingat perak Ogos lalu.

Sebelum itu mereka membintangi skuad sama dalam menempah tempat ke pusingan akhir Kejohanan Asia AFC Bawah 23 di China awal 2018. Profil mereka melonjak sehingga menjadi model muka depan majalah dan sisipan akhbar.

Tidak ramai yang sedar bahawa ada dua tiga individu yang berusaha di sebalik tabir untuk membuka pintu rezeki buat mereka.

Semoga atlet negara diurus dengan baik agar mereka tampil dengan tenang dalam bidang masing-masing.