Stereotaip ada di mana-mana sahaja. Ada yang dengan tujuan untuk "bergurau", ada yang dengan niat mahu sakitkan hati, ada juga yang yang secara tidak sengajanya sudah terpahat mentaliti sebegitu - mungkin disebabkan kebiasaan, mungkin disebabkan cara dibesarkan.

Ada yang mengatakan orang bekerja dalam industri televisyen 'gila glamer', tidak kurang juga yang sentiasa menyangka akauntan semuanya 'nerd'. Jadi benar, susah untuk kita mengelakkan diri daripada stereotaip yang diletakkan oleh masyarakat ke atas diri kita, dan perkara yang sama dialami oleh atlit.

Pelbagai stereotaip seringkali kita dengar atau baca tentang pemain bolasepak, hoki ataupun badminton. Bagaimana pula dengan pemain ragbi?

Saya berkesempatan untuk meluangkan sedikit masa bersama pemain ragbi kebangsaan, Amin Jamaluddin (Kapten Bersama Pasukan Ragbi Kobra) dan juga Kapten Skuad Ragbi 10s, Aleki Morris yang berasal dari New Zealand. Bila ditanya apa agak-agaknya stereotaip yang kerap mereka dengar tentang kerjaya mereka sebagai pemain ragbi, mereka tidak mampu menahan gelak dan terus menjawab, "main tak pakai otak!".

Aleki menyatakan bahawa ramai menyangka bahawa bermain ragbi hanya memerlukan kekuatan fizikal dan tidak menekankan kekuatan mental dan penggunaan minda.

"Satu lagi yang orang selalu ingat, adalah pemain ragbi jenis yang berpuak. Kami berkawan sesama sendiri sahaja. You bukan rugby player? You jangan kawan dengan kami!", tambah Amin.

"Betul ke?"

"Mana ada! Bila kita dah main sepasukan, mesti kita jadi rapat. Rasanya di sini orang selalu salah faham dan ingat kami jenis yang memilih kawan, walaupun sebenarnya kami okay saja berkawan dengan orang lain."

"Oh and rugby players are always labelled as playboys!", kata Aleki, mencelah kata-kata Amin.

"Padahal kita macam orang biasa je, yang single mesti banyak buat kawan kan? Tak semestinya terus jadi playboy...", tambah Amin pula.

"And you notice how socially active people usually think we are?", sampuk Aleki sekali lagi.

"They think we party all the time, they think we go out every night. But really though, after training and whatnot we're usually too tired to even leave the house!"

Tergelak dengan apa yang dikatakan oleh Aleki, Amin terus menambah: "Tapi rasanya stereotaip paling selalu kita dengar adalah....."

"Pemain ragbi bajet macho?", pantas saya menyambung ayat Amin.

"Eh tak... tapi itu salah satu daripadanya lah Dayang. Stereotaip paling 'common' adalah nak jadi pemain ragbi, badan kena besar!"

"Tapi bukankah saiz satu faktor yang penting?"

"Don't be surprised, even someone your size might make it to the women's team!", kata Aleki dengan senyuman lebar.

Jujur saya katakan, memang di luar jangkaan saya yang mereka begitu mesra dan bersahaja. Tiada lagi sangkaan saya bahawa pemain ragbi kesemuanya menakutkan dan tidak 'friendly'.

Dengan ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat berjaya kepada semua pasukan yang terlibat dalam Kejohanan Ragbi 10s minggu ini. Ketepikan semua 'stereotaip' ataupun sebarang cerita di luar padang, dan berikan aksi terbaik anda!