Malaysia mencipta sejarah apabila menjadi tuan rumah Sukan Komanwel yang pertama di rantau Asia.

Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi saksi bagaimana rakyat Malaysia berbilang kaum, agama dan latar belakang bersatu padu dalam menjayakan temasya ini.

Saya cukup bangga dipilih bersama rakan pasukan mewakili Malaysia dalam sukan skuasy. Persediaan rapi dalam Program Jaya 98 memberi lebih keyakinan kepada kami dan antara rakan seperjuangan saya ialah Nicol David (Skuasy), Minarwan Nawawi (Hoki), Shalin Zulkifli (Boling), G.Saravanan (Olahraga), Matin Guntali (Angkat berat),Wong Choong Hann (Badminton) dan ramai lagi.

Upacara pembukaan Sukan Komanwel ke 16, Kuala Lumpur memberi impak positif yang amat besar kepada diri saya. Saya masih ingat lagi perasaan gemuruh sebelum berarak masuk bersama kontinjen Malaysia ke dalam stadium. Dari luar sudah pun kedengaran tepukan gemuruh para penonton kepada setiap negara yang berjalan masuk.

Akhirnya, tiba saat bersejarah. “Malaysia!!!” 100,000 penonton berdiri memberi penghormatan dan memberi tepukan serta sorakan kepada kontinjen Malaysia.

Perasaan cukup bangga, patriotik, gembira, dan seakan-akan saya boleh terbang pada saat itu. Saya masih boleh kedengaran sorakan bersejarah itu sehingga kini dan saya percaya untuk selama-lamanya.

Mata saya bertembung dengan Sapok Biki (Tinju) tanpa sebarang kata-kata.

Kami mengangguk sambil melinangkan air mata (kini sambil menulis air mata berlinang di pipi). Anggukkan itu mengatakan “Kami anak Malaysia cukup bangga menunjukkan dunia bahawa kami mampu berjaya dan menggegarkan dunia”.

Kalau boleh saya inginkan perjalanan lebih kurang 300 meter di atas trek sebelum masuk ke padang berterusan lama. Perasaan itu terlampau istimewa dan mustahil untuk dibeli dengan wang.

Bagi saya, Sukan Komanwel 1998 KL merupakan titik permulaan kejayaan industri sukan Malaysia. Ia juga membuktikan kepada rakyat Malaysia bahawa sukan dapat menyatu padukan rakyat Malaysia yang diwarnai oleh masyarakat berbilang kaum.

Petikan lirik daripada lagu rasmi Sukan Komanwel 1998 KL.

‘Standing In the Eyes Of The World’ oleh Ella.

Pahit getir hidup...
Dan pengorbanan
Terpaksa dihadapi,
Demi kejayaan
Terdidik sejak mula,
Tabah berusaha
Tanpa cuba melangkah,
Tak kemana
Di mana kau berada
Pencapaian tak tiba dengan mudah
Kini "Standing In The Eyes Of The World"

Nama saya ialah Sharon Wee. Saya anak Malaysia dan saya cintakan Malaysia.
Selamat Hari Kemerdekaan ke 58 Malaysia!!!!