Pemilihan kesebelasan utama skuad England oleh Gareth Southgate dalam perlawanan pembukaan Kumpulan D, Euro 2020 menentang Croatia kelmarin ternyata menghairankan, tetapi berhasil.

Penyokong England yang sememangnya terkenal dengan ketajaman lidah mereka serta-merta menularkan tanda pagar #southgateout di halaman Twitter sebaik sahaja senarai pemain skuad negara mereka diumumkan, begitu sekali nasib seorang pengurus yang sekadar menginginkan keputusan terbaik buat pasukannya.

Namun, pada penghujung perlawanan, segala yang dihamburkan terhadap Southgate ditarik balik setelah England mencatatkan kemenangan pertama mereka walaupun sekadar 1-0.

Antara tindakan berani Southgate adalah memberikan kepercayaan kepada Raheem Sterling untuk beraksi di bahagian sayap dan bukannya pilihan popular peminat, Jack Grealish.

Keputusan ini terbukti paling bijak apabila gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Sterling sendiri.

++++

Jadon Sancho yang disebut-sebut bakal menjadi pemain yang menggegarkan pertandingan ini tidak menjadi pemain pemula, sebaliknya Phil Foden dan Mason Mount yang diberikan tanggungjawab untuk melengkapi barisan serangan di samping penyerang utama, Harry Kane.

Southgate juga cukup berani untuk mengetepikan Ben Chilwell dari Chelsea dan Luke Shaw dari Manchester United demi membolehkan Kieran Trippier, seorang pemain bek kanan, untuk beraksi di bahagian pertahanan kiri.

Bagaimana dengan persembahan pemain-pemain ini?

Foden hampir-hampir menjaringkan gol awal dan kekal bersemangat sepanjang perlawanan.

Mount juga nyaris-nyaris menyumbat bola ke gawang lawan manakala Sterling akhirnya menunjukkan potensi sebenar dirinya dan memberikan persembahan yang didamba-dambakan oleh peminat selama ini.

Trippier pula mempamerkan kalibernya untuk menjadi seorang ketua yang mengukuhkan barisan pertahanan, pengganti yang cukup ampuh dalam ketiadaan Jordan Henderson dan Harry Maguire, masing-masing kapten untuk Liverpool dan Manchester United.

Dia ternyata sudah banyak maju setelah menerima tunjuk ajar daripada Diego Simeone di Atletico Madrid di samping bergelar penyandang juara LaLiga ketika ini.



Di sebalik persembahan mantap kesemua pemain, pujian paling besar seharusnya diberikan kepada Kalvin Phillips, pemain tengah Leeds United yang digelar 'Andrea Pirlo dari Yorkshire'.

Biarpun dia berhadapan dengan trio Luka Modric, Mateo Kovacic dan Marcelo Brozovic di barisan tengah, Phillips berjaya menyempurnakan setiap hantaran dalam separuh masa pertama, tidak ada satu pun yang tersasar.

Menurut laman sesawang goal.com, Phillips mengakhiri perlawanan dengan statistik hantaran bola setinggi 93.9 peratus, catatan paling tinggi di antara kesemua pemain England yang bermain selama 90 minit.

Phillips juga adalah pemain yang paling banyak merampas semula bola daripada pihak lawan.

Pujian diberikan di mana ia sepatutnya diberikan, namun persembahan England secara keseluruhan adalah jauh sekali daripada sempurna.



Kapten, Kane, ternyata dikekang ketat oleh pertahanan Croatia sehingga layak dilabelkan sebagai kurang efektif manakala Kyle Walker, yang beraksi di posisi bek kanan, memberikan persembahan yang cukup memalukan dalam separuh masa pertama.

Croatia sendiri kelihatan cukup kepenatan sepanjang perlawanan dan berbeza sekali dengan skuad yang memadamkan harapan England dalam Piala Dunia 2018.

Cabaran seterusnya adalah menentang jiran negara sebelah, Scotland, yang diberikan nafas baru oleh ketua jurulatih, Steve Clarke dan dibarisi oleh bintang-bintang dari Liga Perdana Inggeris seperti Andy Robertson, Kieran Tierney dan Scott McTominay.

Suasana perlawanan berikutnya pasti berbeza, mungkin juga keputusan akhirnya, namun tiada sesiapa boleh menidakkan bahawa Southgate cukup layak untuk tersenyum bangga dengan keputusan taktikal serta semangat pemainnya dalam perlawanan pembukaan ini.