Mikel Arteta tidak pun perlukan sebarang peringatan terhadap apa maknanya Arsenal kendaliannya berada di tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika ini.

Jaringan berganda Martin Odegaard dan satu lagi oleh William Saliba menyaksikan The Gunners mengukir kemenangan 3-0 ke atas Bournemouth, Sabtu lalu – julung-julung kalinya mereka membuka musim dengan tiga kemenangan berturut-turut sejak 2004.

Didahului oleh dua kemenangan sebelumnya ke atas Crystal Palace (6 Ogos) dan Leicester (13 Ogos), Arsenal yang sama ada berwajah baru atau bernafas baru musim ini belum boleh dianggap sudah benar-benar teruji pada ketika dua antara seteru besar, Liverpool dan Manchester United, dilihat bergelut dan berhempas-pulas pada awal musim.



Lantaran itu juga, Arteta enggan membenarkan dirinya serta pemain-pemainnya terus berada di awang-awangan kerana bahaya besar yang menanti untuk menelan mana-mana pasukan yang alpa dibuai keyakinan.

“Musim baru ini baru tiga perlawanan. Ia (tangga teratas ketika ini) langsung tidak bermakna apa-apa,” katanya sambil mengingatkan dirinya ia tidak memberikan sebarang petanda kepada kesudahan pada akhir musim nanti.

“Kalau ada pun, ia hanya membawa maksud pasukan kami sedang beraksi dengan baik, kami menang tiga perlawanan, kami menjaringkan gol, tidak bolos dalam dua perlawanan… segala-galanya seakan- baik buat masa ini,” tambahnya seperti dipetik dalam satu temu bual selepas kemenangan terbaru pasukannya.

The Gunners menandatangani penyerang, Gabriel Jesus, dan bek kiri, Oleksandr Zinchenko, pada pra-musim dan kedua-duanya tidak menghampakan sejauh ini.



Tidak ketinggalan juga, Saliba turut memberi persembahan terpuji di barisan pertahanan sekembalinya daripada tempoh pinjaman ke pasukan Liga Perancis, Olympique de Marseille.

Arteta tidak mahu usaha Arsenal terhenti setakat itu dan sedang menyasarkan beberapa pembelian tambahan untuk memenuhi keperluan pasukan.

“Kami mahukan pemain-pemain yang kami percaya akan memberikan impak besar dalam pasukan. Jika kami boleh melakukannya, sudah pasti kami akan mengusahakannya.

“Kami juga tidak perlu diberitahu di mana kami kekurangan. Kami perlu meningkatkan lagi kuasa menggempur dan itulah yang akan kami ikhtiarkan,” kata Arteta lagi menjelang perlawanan berikut menentang Fulham esok.

Antara yang menjadikan Arteta sebagai idola ketika ini ialah bintang Manchester City, Phil Foden – beraksi di bawahan asuhannya selaku penolong pengurus kepada Pep Guardiola di Etihad di antara Julai 2016 dan Disember 2019 -- yang menyifatkan pengurus Arsenal itu sebagai “sukar dipercayai”.

Di bawah kendaliannya, Arsenal menjulang Piala FA pada 2020 tapi tetap tidak dapat lari daripada kritikan dalam EPL yang menyaksikan mereka berkesudahan di tangga kelima musim lalu.

Dalam pada itu, mereka sebenarnya kian hampir. Pada penghujung musim lalu, Arsenal terlepas tangga keempat dan bersamanya tempat dalam Liga Juara-Juara dengan perbezaan hanya dua mata dengan Tottenham Hotspur gara-gara tersembam di garis penamat.

“Dia sukar dipercayai,” kata Foden dalam temu bual dengan Amazon Prime. “Saya mengingati bekerja rapat dengannya. Saya tahu betapa bagusnya dia sebagai jurulatih.”

Tekanan harus ke atas Arteta untuk mencapai sesuatu musim ini. Dia memiliki sebuah skuad yang hebat dan penyokong tidak akan memaafkannya jika gagal menempatkan diri dalam kelompok empat teratas.