Daripada laluan berlikunya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), belajar carutan bahasa Inggeris serta berganding dengan Harry Kane, Son Heung-min berkongsi segala-galanya.

Pemain yang rata-rata dikenali memiliki senyuman paling lebar dalam EPL ini bersandar selesa di atas sofa sambil mengimbau hari-hari awal yang tidak mampu mengundang banyak senyumannya.

Pada 2009, dia memasang impian untuk bermain bola sepak di Eropah dengan berbekalkan sedikit bakat. Dilepaskan selepas setahun di Hamburg, Son yang baru berusia 17 tahun ketika itu menginap di rumah tetamu satu bilik tidur di Portsmouth.

“Ya, saya tidak mempunyai kawan di sana, tiada keluarga yang menemani dan saya tidak fasih berbahasa Inggeris. Saya tidak tahu sepatah perkataan pun, saya bersendirian dan berasa takut. Keadaannya amat sukar,” katanya seperti dipetik dalam satu temubual dengan akhbar Daily Mail.


“Saya perlu menjalani ujian di Portsmouth dan satu ujian lagi di Blackburn. Mereka menempatkan saya di sebuah rumah tetamu. Tapi saya masih seorang kanak-kanak dan tidak tahu apa-apa. Jadi, itulah memori pertama saya mengenai England dan ia sesuatu yang buruk.

Hari ini di Tottenham, mereka memanggilnya Sonny. Musim cemerlang Tottenham ketika ini tertulis nama Harry Kane tapi Son, dengan larian ke hadapannya dan gol-gol mengagumkan, mampu berkongsi sedikit tumpuan.

Ditanya sama ada dia kini berasa sudah menyerlahkan dirinya, dia mengukir senyuman lantas menjawab: “Saya sentiasa cuba tapi saya tidak fikir sudah mencapainya. Harry dan Dele… saya hanya memberitahu orang yang saya bermain bersama mereka… itu sudah cukup buat saya.

“Apa yang saya lakukan ialah berlatih setiap hari, setiap sesi dan berharap untuk belajar. Lihatlah Harry. Saya menontonnya berlatih dan dia menjaringkan gol dari mana saja, ia tidak masuk akal.

“Saya mahu berada di tahap itu dan telah melakukan beberapa perkara yang baik. Saya telah menjaringkan beberapa gol tapi itu bukanlah segala-galanya. Bola sepak adalah lebih daripada semua itu,” tambahnya.

Hari itu adalah satu hari yang panjang buat Son. Latihan sentiasa bertenaga di bawah pengawasan Mauricio Pochettino dan ia disusuli sejam lagi kerja-kerja komersial untuk kelab.

Tapi keceriaannya kembali apabila dia memulakan ceritanya dalam Bahasa Inggeris yang baik walaupun dengan sedikit loghat Jerman – gara-gara lima musim cemerlangnya dalam Bundesliga, mula-mula dengan Hamburg dan kemudian bersama Bayer Leverkusen.

“Apabila saya mula menjejakkan kaki di Jerman, apa yang saya tahu hanyalah perkataan mencarut Jerman,” katanya disusuli derai ketawa. “Saya sengaja belajarnya sebelum ke sana.

“Saya baru berusia 16 tahun,” sambungnya. “Jadi, jika seseorang mengatakan sesuatu yang tidak baik kepada saya, tidak baguslah jika saya hanya tercegat dan tersenyum. Jadi, saya boleh mencarut dalam bahasa Jerman, Inggeris dan Korea!

“Ia bukan satu perkara yang bagus tapi saya fikir apabila saya menyertai Hamburg, saya harus tahu bagaimana untuk menyesuaikan diri saya,” ujarnya.

Timbul cerita apabila Son kali pertama dibawa berbelanja di sebuah pasaraya oleh ejennya di Hamburg, satu-satunya barang yang dibelinya ialah gel rambut.

Ia harus aneh buat pemain yang kini berusia 25 tahun ini untuk menghampiri tahun-tahun kemuncaknya sebagai seorang pemain bola sepak.

Di negara asalnya, Korea Selatan, dia sangat terkenal hingga dia akan sentiasa dituruti oleh sekumpulan kecil wartawan Korea dalam setiap perlawanan Tottenham.

Apabila dia mengunjungi Seoul bersama Spurs musim panas lalu, sambutan yang menantinya di lapangan terbang lebih mengumpamakan dirinya sebagai seorang bintang lagu rock. Namun, di dalam fikirannya, ia hanyalah daripada segi ketrampilan, dengan cetusan: “Saya tidaklah sebegitu popular.

“Peluncur ais dalam Olimpik (Musim Sejuk di Pyeongchang baru-baru ini) sangat popular dan mereka berhak meraihnya. Mereka melakukannya dengan baik dan saya sangat bangga dengan Olimpik di Korea. Ia sangat mustahak buat negara saya.

“Tapi saya tidaklah popular seperti mereka. Saya cuba menjadi seperti pemain-pemain ternama tapi banyak lagi yang saya perlu lakukan untuk sampai ke tahap mereka.”

Di Hamburg, Son bermain bersama bekas penyerang Manchester United, Ruud van Nistelrooy, yang menjadi pengaruh besar ke atasnya. Namun, idolanya adalah seorang lagi bekas pemain United dari Korea, Park Ji-sung.

“Saya tidak boleh dibandingkan dengannya. Dia seorang legenda dan idola saya. Ramai di negara kami yang masih berasa bangga dengannya. Adalah sukar untuk seorang pemain Asia untuk bermain dalam EPL. Dia (Park Ji-sung) adalah yang pertama melakukannya, maka ia harus lebih sukar buatnya.

“Dia berada di sini dan konsisten untuk tujuh atau lapan tahun. Saya harus menyasarkan itu. Dia bermain di kelab yang ada Rooney dan Ronaldo dan Giggs dan masih mampu merebut tempatnya dalam kesebelasan pasukan,” ujarnya.

(BERSAMBUNG)