Siapa yang melalui zaman kanak-kanak era 1990-an pasti menggilai watak komik keluaran Jepun.

Saya mengumpul komik Mutiara Naga dari siri pertama hingga terakhir dan pastilah mengagumi watak utama, Goku.

Goku sedikit sebanyak mempengaruhi zaman kanak-kanak dan remaja saya hingga berada di tahap sekarang.

Apa yang menarik, saya berpeluang menemui Goku pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 (jika terpilih buat liputan) apabila penganjur memilih beberapa wira siri animasi sebagai duta rasmi temasya.

Ia satu keputusan unik dan bijak kerana wira komik ini antara yang mempopularkan Jepun di seluruh dunia.

Goku 1

Bayangkan Goku, Naruto, Sailormoon, Shin Chan dan banyak lagi wira komik dikumpulkan pada satu temasya sekali gus menghidupkan semula zaman kegemilangan komik Jepun pada 90-an.

Saya masih ingat penampilan unik Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe ketika Upacara Penutup Sukan Olimpik Rio 2016 - beliau tampil dengan watak Super Mario!

Dunia terpaku dengan idea Jepun dan sudah membayangkan betapa Tokyo akan menjadi salah satu temasya Olimpik paling unik dan menarik.

"Ia pasti mengimbau semula nostalgia zaman kegemilangan komik dan animasi Jepun. Saya puji langkah Jepun kerana ia sesuatu yang unik," kata salah seorang peminat sukan di laman sosial.

Jika berkesempatan, cuba anda lawati laman Facebook Olimpik Tokyo 2020. Ada beberapa komen yang menarik.

"Mana Doreamon?"

"Mana Pikachu?"

"Sejak bila Naruto berlari seperti itu?"

Pertikaian itu membuktikan mereka pengikut tegar siri komik sekali gus menghidupkan suasana walaupun Olimpik Tokyo hanya akan berlangsung tiga tahun lagi.

Satu langkah bijak dan saya harap dapat bertemu Goku 'sebenar', bukannya yang kurus kering dengan rambut hitam untuk mencukupkan syarat.

Saya juga tahu gaya Goku sebenar...hehehehe.