Tanda pagar #OleOut kembali tular.

Sebetulnya, ia bukan pun kali pertama musim ini, cuma ia semakin lama semakin bergema tahap kebingitannya.

Kekalahan 0-1 kepada Aston Villa di Old Trafford malam tadi memarakkan lagi api kemarahan peminat terhadap Ole Gunnar Solskjaer, apatah lagi ia adalah kekalahan ketiga Manchester United daripada empat perlawanan – sesuatu yang tidak dapat diterima sejak ketibaan Cristiano Ronaldo.



Peminat mengandaikan sekurang-kurangnya satu mata dapat diselamatkan sekiranya Ronaldo yang mengambil sepakan penalti pada minit terakhir semalam, malangnya rakan senegara, Bruno Fernandes, yang memikul amanah itu menghalakan sepakannya tinggi ke awan.

Solskjaer, dalam mempertahankan keputusannya bahawa Fernandes adalah pengambil utama sepakan penalti buat pasukan sejak ketibaannya ke kelab itu pada Januari 2020, sekadar menggandakan kemarahan ke atas dirinya.

Peminat melihat Ronaldo turut berada dalam kawasan penalti ketika pengadil, Mike Dean, menghadiahkan sepakan berkenaan, hanya untuk Fernandes yang lebih dahulu mendapatkan bola bagi menyempurnakan tugas itu.



Untuk berlaku adil, ia hanyalah kali kedua daripada 23 percubaan sepakan penalti Fernandes gagal menghasilkan jaringan tapi kekalahan kepada Aston Villa membuat ia lebih ketara terasa.

Apa reaksi Ronaldo? Dia mungkin sekadar menepuk perut rakan senegaranya itu tapi perihal dia berseorangan bergegas ke bilik persalinan sejurus tamat perlawanan, mengisahkan kekecewaannya yang bukan kepalang.

“Man Utd tewas kepada Young Boys, West Ham, Aston Villa dan mereka belum pun berdepan pasukan besar. #OleOut," ciap Isaac seperti dipetik akhbar The Sun, sambil Han menokok: “Ole telah membina semula pasukan, Syabas. Tapi biarlah (Antonio) Conte atau (Zinedine) Zidane ambil alih. Tiba masanya. #OleOut."

“Terima kasih di atas segala kenangan, Ole. Tiba masanya untuk ucapkan selamat tinggal. Cukup-cukuplah. #OleOut," tambah Max.

“Manchester United dengan pemain-pemain seperti Ronaldo, Pogba, Varane, Cavani tewas kepada Aston Villa di Old Trafford buat kali pertama sejak 2009. Satu kemajuan? Terima kasih,” @ArjunSaiRaam mengutarakan.

Seperti disimpulkan akhbar Manchester Evening News, Solskjaer – di sebalik memacu United muncul naib juara liga musim lalu dan di ambang memenangi trofi Eropah – akan berasa bahang bak ketuhar andai barisannya gagal menundukkan Villarreal (Rabu ini) dan Everton (Sabtu depan).



Apa jua kemajuan sepanjang dua setengah tahun ini harus dialu-alukan tapi ia tidak mampu terhenti pada ketika ini.

Keluarga Glazer dan hierarki United sejauh ini telah mendapat habuan kerana menaruh kepercayaan terhadap Solskjaer sejak mengesahkannya dalam jawatan selaku pengganti Jose Mourinho pada awal 2019.

Beruntung kerana pengurus dari Norway itu mendapat sokongan tidak berbelah-bahagi daripada ketua eksekutif kelab, Ed Woodward. Tapi dengan Woodward bakal menyerahkan tugasnya kepada orang lain, Solskjaer mungkin bermasalah.

Andai dua perlawanan berikut berkesudahan dengan kemenangan, segala keraguan ini mungkin tidak lagi relevan. Sebaliknya, dua kekalahan berturut-turut memungkinkan Solskjaer angkat bungkus belumpun musim mencecah garis pertengahan.

Ketika itu, dia harus tidak mempunyai sesiapa lagi untuk dipersalahkan setelah memiliki pemain buruan jangka panjangnya, Jadon Sancho, bek tengah berkelas dunia pada Raphael Varane, dan mengatasi semuanya, pemain terbaik sepanjang zaman, Ronaldo.

@rasket360 memperbandingkan kedudukan Solskjaer sebagai “seseorang yang memiliki Ferrari tapi janganlah biarkan kucing anda yang memandunya!”