Begitulah reaksi daripada jurulatih Pulau Pinang, Ashley Westwood, sejurus membaca pesanan penulis yang dikirim menerusi aplikasi Whatsapp.

Penulis mengemukakan dua soalan. Pertama, apakah benar Westwood memilih pemain import Pulau Pinang tanpa ujian pemilihan?

Kedua, apakah benar Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Zairil Khir Johari, yang mengambil alih teraju kepimpinan daripada Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff, campur tangan dalam pemilihan pemain?

Jawapan bekas jurulatih Bengaluru FC itu?

“Karut!”

“Hakikat bahawa anda bertanyakan saya soalan ini adalah satu penghinaan terhadap kaedah profesional saya.”

Desas-desus bertiup kencang di alam maya bahawa trio import Andy Russell, Diogo Ferreira dan Nigel Dabinyaba dipilih secara terburu-buru, ada yang dipilih bersandarkan tontonan aksi di rangkaian youtube.com.

Zairil pula, yang dilantik pengurus pasukan lewat tahun lalu dan menjadi Presiden FAP minggu lalu, suka mencampuri pemilihan kesebelasan.

Namun, jurulatih Inggeris seperti Westwood biasanya mudah tercabar jika ditanya mengenai unsur-unsur tidak profesional dalam gerak kerja mereka.

Bagi kebanyakan jurulatih dari Eropah, mereka tidak gemar berada di bawah telunjuk pengurusan, apatah lagi jika mereka sedang memperkenalkan kaedah-kaedah dan etika kerja yang melanggar norma.

Isu yang melingkari Pulau Pinang bukan baharu.

Di saat prestasi pasukan dipantau dengan rapi, kegagalan mengumpul sebarang mata tanpa menjaringkan sebarang gol selepas tiga perlawanan mencetus kebimbangan dalam kalangan penyokong,

Apatah lagi, kelompok penyokong Pulau Pinang dikenali sebagai antara yang paling kurang memaafkan.

Tindakan Westwood menggandingkan bekas pemain kebangsaan, K. Reuben, Syed Adney Syed Hussain dan Yong Kuong Yong dengan tenaga muda seperti Syamer Kutty Abba, Jafri Firdaus Chew, S. Kumaahran dan Failee Ghazli serta pertukaran posisi beberapa pemain nampaknya belum menelurkan hasil. Ini menimbulkan keresahan buat penyokong.

Selagi pertaruhan Westwood tidak menjadi, ditambah pula dengan hukuman penggantungan yang dikenakan terhadap jurulatih itu gara-gara mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pegawai perlawanan, kejayaan Faiz Subri membawa negeri itu ke mata dunia dengan Anugerah Puskas akan segera tenggelam.

Tuah tentunya didamba Westwood di saat anak didiknya terperosok di tangga corot Liga Super!

Dengan bola sepak Malaysia agak alah kepada perubahan, masa kian mencemburuinya!