Skuad tinju negara terpaksa membatalkan penyertaan dalam Kejohanan Senior Asia di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula Jumaat ini selepas dua peninju negara, yang menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) di Keramat, positif COVID-19

Perkembangan itu memaksa lima peninju membatalkan penerbangan mereka ke UAE esok.

Mengulas mengenai perkara itu, Naib Presiden Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM), Farkhan Haron, berkata kepada Nadi Arena: "Kejohanan Tinju Senior Asia di UAE ini, bagi saya merupakan kejohanan lima bintang kerana terdapat peninju berkelas dunia di sana.

"Buat peninju kita, jangan mengaku kalah. Objektif utama kita adalah Sukan SEA, jadi terus fokus, teruskan latihan dan perlu lebih bersemangat."

Kejohanan Senior Asia merupakan antara program persiapan bagi menghadapi Sukan SEA Vietnam hujung tahun ini.

Malaysia tidak mempunyai wakil ke Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan selepas kesemua peninju negara gagal melepasi pusingan kelayakan.