Sejak bermulanya Sukan Sea 2017 Ogos lalu, Dayang agak kurang memberikan tumpuan mengenai pasukan kegemaran Dayang iaitu Manchester United. Terlalu sibuk dengan temasya dwi tahunan itu hinggakaan tiada masa untuk mendapatkan perkembangan terkini skuad kendalian Jose Mourinho.

Di kesempatan ini Dayang nak kongsikan siapakah pemain-pemain yang keluar, masuk, disambung kontrak dan juga dipinjamkan selepas jendela perpindahan ditutup beberapa hari yang lalu.

Sebagai persiapan bagi melalui musim baru, Mourinho berjaya membawa masuk tiga pemain baru yang mana mereka dijangka akan berada dalam kesebelasan utama. Bermula dengan Victor Lindelof yang dibawa masuk dari Benfica, pertahanan yang berasal dari Sweden ini dijangka menjadi sandaran utama untuk bergandingan dengan Eric Bailly. Biarpun masih belum berada dalam kesebelasan utama, Dayang percaya Lindelof bakal menjadi taruhan utama United di barisan pertahanan.

Seterusnya Mourinho berjaya mendapatkan Nemanja Matic dari Chelsea yang mengikat kontrak sehingga 2021. Dayang sedikit teruja dengan kemasukan Matic yang mana dia merupakan pemain tonggak kepada pasukan kendalian Antonio Conte, namun The Blues tetap melepaskan Matic kepada United. Kemasukan Matic ternyata memberikan ruang yang banyak kepada Paul Pogba untuk bergerak bebas selepas semusim terpaksa membantu jentera pertahanan tengah United.

Di bahagian serangan pula, kemasukan Romero Lukaku dilihat bakal menambah baik ketajaman jentera serangan United disamping Henrik Mikhitaryan, Marcus Rashford, dan Anthony Martial. Kemasukan semula Zlatan ibrahimovic turut mampu menghadirkan rasa gerun andainya kedua-dua gergasi ( Lukaku dan Zlatan) beraksi bersama.

Antara pemain yang keluar dari Manchester United ialah Wayne Rooney yang kembali bersama Everton, Adnan Januzaj ke Real Sociedad, Guillermo Varela ke Atletico Penaro dan Josh Harrop ke Preston North End.

Manakala lima pemain yang menandatangani kontrak lanjutan pula ialah ketua pasukan, Micheal Carrick, Antonio Valencia, Andreas Pereira, Sergio Romero dan Zlatan Ibrahimovich.

Jika dinilai skuad Manchester United untuk musim 2017/18 kali ini, Dayang berani katakan bahawa The Red Devils bakal menjadi salah satu pencabar utama untuk saingan liga dan juga liga juara-juara Eropah.

Jadi buat pasukan-pasukan lain, jangan pandang rendah akan kebolehan Manchester United untuk kembali tampil garang selepas aksi longlai beberapa musim lalu.