Kekalahan pasukan negara kepada tuan rumah, Kemboja, dalam perlawanan pertama saingan Kumpulan B Kejohanan AFF B-22 sedikit pun tidak menghilangkan keyakinan pengendali kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee terhadap kemampuan anak-anak buahnya.

Walaupun persiapan tidak begitu sempurna untuk Kim Swee dalam mengurus pasukan, namun ia tidak mematahkan semangat beliau untuk terus mengendali dan memastikan skuad kebangsaan mampu memberi saingan kepada pasukan-pasukan yang lebih mantap dalam Kumpulan B seperti Kemboja, Myanmar dan Indonesia.

Ini dibuktikan oleh anak-anak buah Kim Swee dalam perlawanan pertama ketika menentang Kemboja. Walaupun pergerakan mereka ketika separuh masa pertama agak tidak kemas tetapi kemasukan pemain tengah berpengalaman, Nik Akif Syahiran Nik Mat, telah mengubah corak permainan di mana tonggak Kelantan itu berjaya mengemudi bahagian tengah dengan baik melalui kawalan permainan dan hantaran-hantaran kreatif daripada beliau.

Dalam masa sama, rangkaian tiga penyerang negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak, R. Kogileswaran dan Jafri Chew perlu meningkatkan keyakinan diri dan menggunakan pengalaman mereka untuk terus berusaha mencari jaringan demi mendapatkan kemenangan buat skuad negara ketika bertemu Indonesia nanti.

Inilah cabaran yang dilalui skuad B-22 kebangsaan walaupun semua tahu bahawa Liga Malaysia di peringakat senior baru sahaja bermula dan ia memberi sedikit kekurangan daripada segi kecergasan kepada pemain apatah lagi kelompok yang beraksi dalam saingan Piala Presiden yang masih belum bermula pertandingannya.

Inilah fakta yang perlu diketahui dan difahami oleh masyarakat bola sepak Malaysia. Bukan mudah untuk mempersiapkan pasukan tatakala pemain masih lagi mempersiapkan diri mereka daripada segi fizikal dan mental ketika pramusim di peringkat kelab mereka.

Diharapkan dalam perlawanan kedua nanti skuad negara akan terus bangkit dan dapat mengejutkan musuh tradisi iaitu Indonesia dengan persembahan yang bermutu dan kemenangan pertama kem kebangsaan dalam saingan kali ini.

Kredit foto: Facebook FAMalaysiaOfficial