Pasukan hoki wanita kebangsaan sekarang bukan lagi taraf peringkat awal Siri Hoki Terbuka Dunia atau dahulu dikenali sebagai pusingan pertama Liga Hoki Wanita Dunia.

Apa tidaknya, kejohanan yang berlangsung di Singapura ketika ini memperlihatkan jurang ketara atara Malaysian Tigress dengan lima pencabar, Thailand, Kazakhstan, Singapura, Hong Kong dan Indonesia.

Jumlah 45 gol dan satu bolos dalam lima perlawanan aksi round robin membuktikan peningkatan prestasi skuad negara yang dilihat sudah jauh meninggalkan pencabar mereka terutama dari rantau Asia Tenggara.

Ia juga merupakan rekod jaringan terbesar Malaysian Tigress sepanjang dua edisi pusingan pertama Liga Hoki Wanita Dunia disertai sebelum ini.

Pada 2012, skuad negara menjuarai saingan di Kuantan, Pahang dengan 31 gol keseluruhan dan cuma satu bolos sebelum mengungguli kejohanan sama di Singapura dua tahun kemudian, kali ini 37 gol dan tidak bolos.

Pada 2016, skuad negara tidak mengambil bahagian dalam pusingan pertama kerana menjadi tuan rumah untuk pusingan kedua pada tahun lalu yang mereka bergelar naib juara buat kali pertama sekali gus layak ke Separuh Akhir Liga Hoki Wanita Dunia 2017.

Malangnya, kedudukan ranking No. 22 dunia tidak membolehkan Malaysian Tigress terus layak bermain dalam pusingan kedua atau kini digelar Siri Hoki Dunia Final kerana slot automatik diberikan kepada pasukan daripada ranking kesembilan hingga 20 sahaja.

Bagaimanapun, ia tidak menghalang skuad negara untuk menjuarai pusingan pertama dan saya percaya perkara sama akan berlaku dalam kejohanan di Singapura kali ini dengan menewaskan Thailand pada final.

Saya juga tertarik dengan ketua jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah yang tidak kekok terus memberikan pendedahan kepada dua penyerang muda, Nur Amirah Syakirah Zulkifli, Nur Maziatulhanim Syafi Sheik Fuad.

Dua pemain ini mempunyai potensi besar untuk menyinar terutama Amirah yang sudah mula mempamerkan kelas tersendiri.

Penyerang berusia 18 tahun ini sedang menghuni carta penjaring ketiga terbanyak dengan enam gol dalam lima perlawanan.

Malah, beliau juga berani mengambil risiko menyenaraikan pemain berusia 15 tahun, Kirandeep Kaur Gurdip Singh untuk bermain kejohanan senior yang pertamanya.

Jika terus didedahkan dengan kejohanan berkompetitif, saya percaya Amirah, Syafi dan Kirandeep serta pemain-pemain muda lain akan menjadi aset buat Malaysian Tigress.