Keruntuhan kelab yang berpangkalan di Lembah Klang, MPPJ FC, sama sekali gagal menjadi iktibar pada musim 2019.

'Chelsea Malaysia', jolokan yang diberi kepada MPPJ, pernah mencipta sensasi diangkat sebagai juara Piala Malaysia edisi 2003 di sebalik berstatus kelab sahaja.

Dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M), ia dianggap pencapaian luar biasa bagi sebuah kelab memandangkan kecenderungan penyokong untuk setia bersama pasukan negeri.

Barisan kendalian Dollah Salleh itu mengejutkan ramai apabila mengecewakan Sabah -- seteru di peringkat kumpulan di samping Selangor dan Pulau Pinang -- dalam final.

Nama penggempur dari Argentina, Juan Manuel Arostegui, menjadi sebutan ramai berikutan hatrik yang dilakarnya.

Ironinya, di peringkat separuh akhir, pasukan dengan jolokan The Black Widows itu mengetepikan Perlis 4-2 secara agregat.

Perlis ketika itu bukan calang-calang pasukan.

Singa Utara, yang turun dengan reputasi finalis Piala FA, merupakan pencabar utama dengan kelibat seperti pemain import berbisa, Phillimon Chepita.

Kini, nasib Perlis dalam Liga-M masih terumbang-ambing gara-gara kemelut gaji tertunggak.

Bagi MPPJ pula, mereka hampir 'dikuburkan' -- kini menumpukan kepada pembangunan pemain muda -- gara-gara ingin mengekalkan kejayaan itu dengan memilih projek lebih mega.

Beberapa pemain terbilang tempatan ketika itu dipancing tetapi belum habis nikmat berbulan madu, sudah bermacam rintihan pemain kedengaran apabila janji-janji manis ketika cubaan memikat mereka tidak tertunai.

Siapa yang tidak kelabu mata demi jaminan masa depan?

Bagaimanapun, dalam sekelip mata, nasib MPPJ berubah, apatah lagi pengurusan sudah tawar hati sehingga mendorong mereka untuk mengecilkan perbelanjaan dengan hutang MPPJ ketika itu dianggar bernilai RM3 juta.

Selepas 16 tahun, penyakit projek mi segera ini masih membelenggu Liga-M.

Ia bukan cerita basi, malah ada pemain yang sudah memasuki dua musim tidak bergaji. Cuma, apa yang menghairankan adalah sikap sesetengah individu yang bersikap lepas tangan.

Selepas menjanjikan bulan dan bintang ketika mengikat pemain, malangnya apabila masalah seperti gaji berlaku, mereka dengan mudah melepaskan jawatan dan lebih hebat lagi, mengambil alih pasukan lain nak meneruskan kesinambungan pendekatan itu.

Kuasa wang membolehkan sesebuah pasukan itu mengekalkan daya saing dalam tempoh yang panjang tetapi ia bukanlah jaminan kejayaan.

Hasrat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memperkenalkan gaji siling dan peraturan kewangan mempunyai buruk dan baiknya, eloklah FAM menghalang individu tertentu dengan gejala melompat kelab selepas melakukan onar.