Malaysia hanya menghantar satu Tan Cheng Hoe untuk menghuru-harakan Gelora Bung Karno, melenyapkan rekod tanpa menang di GBK sejak 15 tahun lalu.

Orangnya tenang.

Tutur kata yang merendah diri. Tidak berprasangka dan ikhlas setiap kali berurusan dengan individu ini.

Sebagai wartawan yang sering mencari cerita sensasi, aku gagal dalam menelaah sisi dalam susuk tubuh yang dikenali sebagai Tan Cheng Hoe ini pada awalnya.

Dalam beberapa isu yang melanda skuad negara kebelakangan ini, aku memancing anak jati Kedah ini menerusi beberapa soalan panas yang diutarakan, aku fikir Cheng Hoe mudah untuk melayan provokasi.

Tetapi aku salah. Kerana soalan panas yang aku beri, jawapan yang diterima ‘always cool’.

Mengenali Cheng Hoe lebih sedekad lalu, dia individu paling tenang yang pernah aku kenali.

"Tak apa la Fina, biarlah apa mereka nak kata."

"Saya tak mahu komen, nanti lagi buruk keadaan."

"Buat apa mau saman, itu semua kerja susah saja".

Itu antara bait kenyataan Cheng Hoe, menerusi dialek Cina Kedah yang tidak pernah luntur daripada lidah pengendali ini.

Semalam, 5 September 2019, manusia bersikap tenang ini cetak sejarah baru.

Rekod 15 tahun tanpa kemenangan di Gelora Bung Karno lenyap dengan sentuhan Cheng Hoe yang diselesaikan barisan pemain yang berjuang bermati-matian di stadium keramat Indonesia itu.

Terdiam puluhan ribu rakyat Indonesia yang membanjiri Gelora Bung Karno saat pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh, mencetak jaringan kemenangan kurang dua minit sebelum wisel penamat ditiup pengadil perlawanan.

Angin provokasi yang ditiup sebaik skuad negara menjejakkan kaki di bumi Indonesia, berakhir dengan susunan Barracuda yang menjemput pemain negara di GBK, menyantuni mereka hingga ke hotel penginapan yang hanya memerlukan tempoh 10 minit jaraknya.

Bertuahnya skuad negara, tingginya martabat mereka sehingga mendapat layanan istimewa sedemikian rupa.

Itulah jawapan kepada setiap provokasi, bertenang adalah yang terbaik, biar keputusan yang menjadi jawapan bagi setiap kejian dan hinaan

Begitulah acuan daripada individu yang diberi nama Tan Cheng Hoe, sikap ‘cool’ Cheng Hoe meresap ke setiap jiwa pemain negara.

Semoga skuad negara terus istiqamah dalam menjalin kejayaan dalam misi layak ke Piala Asia 2023, impian yang tertunda sejak lapan tahun lalu.

Barracuda Barracuda juga, jangan lupa bas ‘Hello Kitty’ yang menjadi perlindungan skuad juara bawah 19 tahun negara yang di bawah kendalian Bojan Hodak tahun lalu.

Sis terhibur. Ada ada saja kamu ini dong!