Kecoh di England apabila akhbar Mirror melaporkan bintang Arsenal, Mesut Ozil, telah memberitahu rakan sepasukannya bahawa dia akan meninggalkan Gunners untuk menyertai musuh tradisi, Manchester United, pada musim panas tahun depan.

Kontrak Ozil bersama Arsenal bakal tamat pada Jun 2018 dan segala usaha pengendali, Arsene Wenger, untuk memperbaharui kontrak bintang Jerman itu sebelum ini menemui jalan buntu selepas dia menolak tawaran gaji GBP275,000 (RM1.5 juta) seminggu pada musim lalu.

Ozil didakwa meminta kenaikan gaji sehingga GBP350,000 (RM1.9 juta) seminggu untuk muncul sebagai pemain dengan gaji tertinggi di Emirates, namun permintaannya itu ditolak.



Selepas wujud laporan mengenai pengesahan Ozil untuk berpindah ke Old Trafford, Wenger pantas menafikannya dengan menyifatkan ia perkara biasa apabila seseorang pemain semakin menghampiri penghujung kontraknya, sambil desas-desus lain mengatakan pengurus dari Perancis itu lebih rela menjualnya menjelang jendela perpindahan pada Januari akan datang.

Kisah Ozil untuk menyertai Jose Mourinho di United pastinya menarik perhatian semua peminat bola sepak selepas kedua-duanya bersama ketika mewakili Real Madrid dan lebih menguatkan kebarangkalian itu, Mourinho sebelum ini pernah menyatakan bahawa Ozil adalah pemain dengan peranan “nombor 10” yang terbaik di dunia.

Legenda Real Madrid, Claude Makelele, menambahkan kehangatan spekulasi itu apabila menasihatkan bekas pemain Werder Bremen itu untuk meninggalkan Arsenal dan ke Old Trafford

Meskipun kehebatan Ozil sebagai antara perancang terbaik dunia telah terbukti, kepadatan senarai pemain tengah di United membuatkan timbul persoalan adakah bintang Jerman itu watak yang sebenarnya diperlukan oleh Mourinho selepas memiliki Henrikh Mkhitaryan, Ander Herrera, Marouane Fellaini dan Juan Mata.



Tatkala pertahanan kiri serta pemain sayap yang sering diminta oleh peminat-peminat Red Devils, kehadiran Ozil pastinya bukan satu jalan penyelesaian kepada kem United kerana Mourinho sudah tentu terpaksa menyingkirkan salah satu daripada nama di atas untuk memberi ruang buat Ozil.

Jika benar perpindahan itu berlaku, ia pastinya memberikan tamparan besar buat peminat Gunners, lebih-lebih lagi pemain terakhir yang berhijrah ke United dari Emirates sebelum ini adalah Robin van Persie, individu yang menjadi watak utama dalam laluan kelab Manchester itu merangkul kejuaraan liga yang ke-20 pada tahun 2013.



Bagaimanapun, Wenger perlu memastikan Ozil kekal di Emirates kerana perpindahan bintang Jerman itu mungkin mencerahkan peluang untuk pemain utama lain seperti Alexis Sanchez dan Jack Wilshere untuk turut serta angkat kaki (kedua-duanya juga bakal tamat kontrak pada Jun 2018).

Buat Mourinho, selepas berbelanja besar sebelum ini, mungkin sudah tiba masanya untuk dia menggunakan kombinasi pemain bintang sedia ada bersama pemain-pemain muda yang memliki potensi tinggi seperti Scott McTominay, Andreas Pereira, Ro-Shaun Williams dan juga Callum Gribbin.

Jika masih mahu mendapatkan Ozil, tidak mengapa... asalkan ia secara percuma.