Pertemuan yang bakal menyaksikan ramai bintang bola sepak dunia ini sentiasa menjadi sebutan, dan El Clasico pertama musim ini akan diadakan di stadium keramat Real Madrid, Stadium Bernabeu awal pagi 22 November.

Seperti biasa, pertemuan El Clasico akan dipenuhi dengan pelbagai spekulasi dan kontroversi menjelang pertandingan, terutamanya dua pemain terbaik dunia, Cristiano Ronaldo dari Real Madrid dan Lionel Messi tonggak Barcelona.

Media di Eropah menjangkakan musim ini mungkin menjadi musim terakhir untuk kedua pemain ini beraksi dalam El Clasico, dengan khabar angin perpindahan kedua pemain dari liga sepanyol semakin rancak di akhbar dan laman media social.

Pemain dari Portugal dan penjaring terbanyak Real Madrid, Cristiano Ronaldo, yang kini menjangkau usia 30an, dikatakan akan berhijrah dari Real Madrid setelah diberitakan tidak berapa setuju dengan cara pengurusan Rafa Benitez, dan pemecatan pengurus sebelum ini, iaitu Carlo Ancelotti.

Kelab gergasi perancis, Paris Saint Germain dikatakan sangat berminat untuk membeli Ronaldo sejak beberapa musim yang lalu.Sementara Chelsea, yang diuruskan oleh bekas pengurusReal Madrid, Jose Mourinho, juga dikatakan ingin mendapatkan khidmat pemain Portugal itu setelah mengalami musim buruk. Sementara itu, khabar angin bahawa Ronaldo akan sekali lagi kembali beraksi bersama Manchester United juga masih menjadi buah mulut ramai.

Malahan bekas bintang Manchester United, David Beckham menyokong Ronaldo jika berhasrat untuk kembali bersama The Red Devils.Ronaldo sendiri ada menyuarakan ingin menghabiskan kariernya di peringkat tertinggi, dan bukan bersara di liga lain seperti di Amerika Syarikat dan Arab Saudi.

Tidak kurangnya juga dengan Lionel Messi. Menurut wartawan dan pakar bola sepak sepanyol, Guilem Balague mendedahkan bahawa kemungkinan untuk Messi berpindah ke Liga Perdana Inggeris adalah sangat cerah sekarang berbanding dua tiga tahun yang lalu.

Kelab gergasi seperti Manchester City, Manchester United dan Chelsea telah mula menunjukkan minat terhadap penyerang Argentina ini, dan Arsenal juga dilaporkan mula berlumba mendapatkan khidmat beliau.

Messi dikatakan tidak gembira dengan kes cukainya di Sepanyol, dan peluang untuk bermain dan mengembangkan pengalamannya, setelah sekian lama bersama Barcelona juga menjadi satu faktor untuk berhijrah.

Namun, apa yang dibimbangkan peminat Barcelona ialah kecergasan beliau untuk pertemuan El Clasico kali ini.

Cedera pada bulan September yang lalu, kecergasan Messi untuk bermain menentang Real Madrid menjadi tanda tanya.
Biarpun pengurus Luis Enrique sudah mengesahkan bahawa Messi sudah mula berlatih bersama skuad utama dan tiada masalah untuk diturunkan.

Namun begitu, prestasi penyerang Barcelona yang lain, iaitu Neymar dan Luis Suarez sedikit sebanyak menghilangkan rasa gusar peminat Barcelona, apabila kombinasi mereka berdua menghasilkan 17 gol di tujuh perlawanan terakhir.

Berbeza pula di Kem Real Madrid. Prestasi Cristiano Ronaldo di musim ini dikatakan tidak sehebat musim lepas. Beliau hanya menjaringkan 8 gol di peringkat liga musim ini.

Statistik juga menunjukkan di Bernabeu, Messi lebih banyak menjaringkan gol di dalam perlawaan El Clasico berbanding Ronaldo, dimana Messi menjaringkan 12 gol dalam 15 perlawanan El Clasico di Bernabeu, berbanding 5 gol oleh Ronaldo.

Real Madrid juga dibelenggu masalah kecederaan dan ketiadaan pemain ketika James Rodriguez dan Gareth Bale baru pulang dari kecederaan, Sergio Ramos mengalami masalah bahu dan penjaga gol Kaylor Navas juga sedang berlumba untuk cergas demi El Clasico.

Bagi Barcelona, Selain Lionel Messi, hanya Javier Mascherano sahaja yang menjadi tanda tanya untuk perlawanan ini setelah mendapat kecederaan sewaktu perlawanan antarabangsa baru-baru ini.

Dengan kedua dua pasukan kini berada di puncak liga, pihak yang memenangi perlawanan ini bukan sahaja akan mendapat ‘bragging rights’, malah akan juga menang perang psikologi yang cukup penting untuk baki perlawanan seterusnya di Liga Sepanyol bagi musim 2015/2016 ini.