Saingan Liga Perdana Inggeris musim 2020/2021 bakal membuka tirai hujung minggu ini. Maka persoalan pertama yang mungkin akan timbul adalah, pasukan mana yang akan menjadi pencabar utama merangkul kejuaraan liga?

Tanpa berselindung, penulis mengakui pasukan bimbingan Jurgen Klopp berkemungkinan besar mampu mempertahankan kejuaraan yang dimenangi. Walaubagaimanapun, harus diingat bahawa pasukan-pasukan besar lain turut giat berbelanja bagi mencabar The Reds dalam perubatan trofi EPL.

Pilihan pertama penulis, Chelsea mungkin akan menjadi antara pencabar utama berdasarkan senarai pembelian pemain mereka musim baru ini. Selepas digantung FIFA dari membeli pemain musim lalu, Roman Abramovich benar benar berbelanja untuk meletakkan Chelsea selaku pasukan yang harus diberikan perhatian.

Melepaskan orang lama Pedro dan Willian kepada pasukan lain, The Blues membawa masuk senarai pemain di setiap posisi pertahanan, tengah dan serangan. Thiago Silva, Hakim Ziyech, Ben Chilwell, Timo Werner dan Kai Havertz antara nama-nama besar yang dibawa masuk dan andai kesemua pemain ini berada dalam kesebelasan utama, sudah pasti corak permainan Chelsea akan berubah sama sekali.

Skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer juga harus diberikan perhatian. Biarpun hanya membawa masuk Donny Van De Beek dari Ajax, namun kehadiran seorang pemain tengah baru disamping pemain tengah sedia ada seperti Bruno Fernandes, Paul Pogba, Nemanja Matic, Fred dan Scott McTominay akan menyaksikan perubahan dari segi corak permainan. Bayangkan Pogba, Van De Beek dan Bruno Fernandes bermain bersama, dua pemain box-to-box dan satu pemain tengah menyerang, cara permainan barisan pertahanan turut akan berubah kerana ketiadaan pemain tengah bertahan.

Manchaster City turut menjadi pilihan penulis untuk mencabar Liverpool mempertahankan kejuaraan liga. Jendela perpindahan yang akan ditutup pada Oktober menyaksikan The Citizen tidak berbelanja mewah dengan hanya membawa masuk Nathan Ake dari Bournemouth dan juga Ferran Torres dari Valencia.

Namun harus diingat, saingan Liga Perdana Inggeris bukanlah sesuatu yang boleh dijangka. Semua pasukan selain yang penulis sebutkan diatas mampu mencabar kejuaraan Liverpool. Wolves, Leicester City, Tottenhah Hotspur, Arsenal bahkan Leeds United bimbingan Marcelo Bielsa juga mampu muncul juara.