Bermula kenyataan mengapa empat kebangsaan bersara, pendedahan maklumat sulit yang segalanya terkandung dalam pendrive, kini akhirnya Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sedia bersemuka dengan exco dan pegawai tertinggi FAM.

Apabila Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin nyatakan kesediaan adakan pertemuan rasmi dengan TMJ, sayugia diharapkan segala drama bidas-membidas selama ini mampu segera berakhir.

Mungkin untuk memerangi masalah yang dinyatakan oleh TMJ itu sukar dilaksanakan sepenuhnya tetapi jika platform itu mampu selesaikan perasaan kedua-dua pihak hingga tahap 60 hingga 70 peratus, itu sudah cukup baik.

Bukan mahu mencari siapa pemenang dan siapa pengalah dalam isu ini namun titik perdamaian perlu ada dengan tujuan paling utama memperbaiki kelemahan pengurusan bola sepak negara.

Penulis selaku pengamal media tidak mahu menyokong mana-mana dalam isu yang dibangkitkan oleh TMJ dan jika pendedahan itu benar serta ada bukti jelas, tidak salah untuk diberikan kepada pihak berkuasa.

Malahan, jalan yang dipilih oleh TMJ untuk adakan pertemuan secara personal dengan individu-individu yang dikatakan ada penyelewengan iaitu secara peribadi dilihat lebih baik berbanding dedahkan secara umum.

Bukan sahaja untuk menjaga air muka individu terbabit jika didedahkan lebih awal tanpa individu terbabit tidak diberi peluang berikan penjelasan tetapi paling penting sesiapa sahaja yang terbabit mungkin ada penjelasan tersendiri.

Apa yang mustahak, penyelesaian secara musyarawah mampu terjalin antara TMJ dan FAM demi kebaikan sukan nombor satu negara ini.

Sama-samalah kita tunggu di mana dan tarikh pertemuan itu nanti...apa sahaja hasil pertemuan itu, harap mampu dikongsi bersama masyarakat bola sepak Malaysia.

Penulis yakin ramai peminat bola sepak negara mahu lihat ada perubahan pada prestasi pasukan kebangsaan namun untuk menuding 100 peratus kepada FAM semua kesalahan terbabit..rasanya itu persepsi terlalu ekstrem.

Bagaimana pemilihan pemain-pemain di peringkat kelompok lebih kecil iaitu di akar umbi? Adakah persatuan bola sepak negeri dan kelab berfungsi sepenuhnya? Sokongan daripada Kementerian Pendidikan dan galakan ibu bapa? Rasanya semua masalah terbabit turut sama saling berkait...

Kemajuan sukan termasuk bola sepak sebenarnya banyak bergantung sejauh mana sosio-budaya dan budaya masyarakat itu sendiri...