Di sebalik kejayaan Brazil melangkah ke pusingan 16 Piala Dunia Wanita Perancis 2019 -- dengan mengesahkan tempat selaku pasukan di tangga ketiga terbaik Kumpulan C selepas menewaskan Itali 1-0 awal pagi tadi -- wujud satu pesona yang mendorong kejayaan itu dengan dua rekod dunia yang dipecahkan.

Sensasi itu dicetus penyerang veteran Selecao, Marta Vieira da Silva, yang kini muncul pemain pertama -- tanpa mengira jantina -- menjaringkan 17 gol dalam Piala Dunia, sekali gus mengatasi rekod bekas pemain kebangsaan Jerman, Miroslav Klose.

Tidak cukup dengan itu, dia juga merupakan pemain pertama -- juga tanpa mengira jantina -- menjaringkan gol dalam lima edisi Piala Dunia (2003, 2007, 2011, 2015 dan 2019).

Marta, 33, bukanlah nama asing dalam bola sepak Brazil.

Penyerang kelab Orlando Pride dalam Liga Amerika Syarikat (AS) itu pernah digelar "Pele yang memakai skirt" oleh Pele sendiri sambil menyifatkan pemain berkenaan sebagai pemain wanita terbaik yang pernah dilahirkan Brazil.

Ia selepas Marta dinobatkan sebagai Pemain Wanita Terbaik Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) buat lima tahun berturut-turut (2006-2010) sebelum kembali meraih anugerah keenam tahun lalu.

Dalam Piala Dunia Brazil 2014, dia mendapat pengiktirafan tertinggi apabila disenaraikan sebagai salah seorang daripada enam duta Piala Dunia, sebaris dengan nama-nama besar Brazil seperti Amarildo, Bebeto, Carlos Alberto Torres, Ronaldo dan Mario Zagallo.

Marta memulakan karier profesionalnya seawal usia 14 tahun.

Sewaktu mewakili kelab remaja CSA, dia mendapat perhatian daripada jurulatih skuad wanita Brazil, Helena Pacheco, sebelum menyertai Vasco da Gama pada 2000.

Tiga tahun selepas itu, dia mencipta jaringan pertamanya buat skuad kebangsaan Brazil sewaktu menewaskan tuan rumah, Peru, dalam saingan peringkat kumpulan Copa America.

Secara keseluruhan, Marta menjaringkan empat gol dalam kejohanan itu bagi membantu pasukannya muncul juara buat kali keempat.

Tidak lama selepas itu, Marta menyertai Piala Dunia pertamanya di AS, namun dia hanya menjaringkan tiga gol, termasuk satu ketika pasukannya ditewaskan Sweden 2-1 dalam suku akhir.

Bagaimanapun, dia bangkit dalam edisi 2017 di China -- edisi paling berjaya yang memberikan kedukaan buat pemain berkenaan -- apabila membuka kempen dengan menjaringkan empat gol dalam saingan peringkat kumpulan.

Dia kemudian menjaringkan satu gol lagi ketika Brazil menewaskan Australia 3-2 dalam suku akhir sebelum meledakkan tambahan dua gol ketika menewaskan AS 4-0 dalam separuh akhir.

Namun, dia gagal menyudahkan sepakan penalti dalam babak kedua perlawanan akhir sebelum akur menyaksikan pasukannya ditewaskan Jerman 2-0.

Martha menamatkan kempen berkenaan selaku naib juara dengan memenangi dua anugerah individu, iaitu Anugerah Kasut Emas (penjaring terbanyak) dan Bola Emas (pemain terbaik kejohanan).

Seharusnya ia menjadi edisi terbaik buat Marta dan skuad kebangsaannya memandangkan dalam dua edisi berikutnya, Brazil tidak pernah layak ke separuh akhir -- ditewaskan Jerman dalam suku akhir edisi 2011 sebelum dikecewakan Kanada dalam pusingan 16 pada 2015.

Kini, dengan usianya yang sudah mencecah 33 tahun, Marta masih produktif untuk menjaringkan dua gol dalam saingan peringkat kumpulan di Perancis.

Mungkin inilah peluang terakhirnya untuk melengkapkan pencapaian gemilangnya dengan julangan Piala Dunia -- yang sama sekali tidak pernah dirasai 'superstar' dalam kategori lelaki seperti Cristiano Ronaldo, Lionel Messi dan rakan senegaranya, Neymar.

Sekalipun tidak, dia sekurang-kurangnya boleh berpuas hati selepas memahat nama sebanyak dua kali dalam buku rekod dunia kejohanan berkenaan.