Di sebalik kerancakan Kejohanan Badminton Dunia di Nanjing, China, ketika ini di tambah pula dengan misteri serta spekulasi masalah kesihatan yang menimpa jaguh perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei, sehingga memaksa dia menarik diri daripada saingan ini dan juga Sukan Asia 2018, ramai yang terlepas pandang tentang seorang jaguh dari Taiwan.

Tai Tzu Ying, gadis manis dari Kaohsiung, Taiwan ini dalam satu momentum kemenangan yang sukar dibendung. 34 perlawanan diharungi untuk tahun 2018 menyaksikan dia hanya tewas sekali, iaitu kepada perseorangan Thailand, Ratchanok Intanon, dalam saingan akhir Masters Malaysia Januari lalu.

Semenjak kekalahan itu, dia bangkit dan hasilnya tidak lama, hanya seminggu selepas itu, dia menjadi juara Masters Indonesia dengan menewaskan Saina Nehwal 21-9, 21-13.

Kemudiannya, dia mempertahankan gelaran di dalam Seluruh England menewaskan anak didik Park Joo Bong, Akane Yamaguchi, dari Jepun.

Mangsa Tzu Ying seterusnya adalah wakil China, Chen Yu Fei, apabila mereka bertembung di pentas final Kejohanan Badminton Asia di Wuhan. Tzu Ying memalukan Yu Fei dihadapan penyokongnya sendiri dengan keputusan straight set 21,19, 22-10.

Memasuki saingan pentas Piala Uber, tampak kekuatan Tzu Ying tidak seimbang dengan rakan-rakannya yang lain seperti Pai Yu Po dan Chiang Mei Hui. Biarpun Taiwan terkandas di peringkat suku akhir apabila tumbang kepada Jepun, Tzu Ying tetap tenang mengekalkan rekod tanpa kalahnya. Cheung Ngan Yi, Luise Heim, malah Ratchanok Intanon semua ditundukkan satu persatu dalam saingan peringkat kumpulan Piala Uber.

Tzu Ying kembali semula ke Malaysia pada Jun dalam saingan Terbuka Malaysia dan dia menebus kekecewaanya di bumi ini. Mangsa seterusnya adalah wakil China, He BingJiao, dan bagaikan manusia dari planet lain, Tzu Ying sekali lagi menang dengan keputusan straight set 22-20, 21-11 sekaligus meraih gelaran keempatnya pada tahun ini.

Dia ternyata tidak kenal erti penat, hanya dua hari sahaja baru memenangi gelaran di Kuala Lumpur, dia terbang ke Jakarta dengan misi raih gelaran kelima. Dalam aksi final, Chen YuFei diajar erti kekalahan apabila tumpas dengan keputusan 21-23, 21-15, 21-9.

Kini, dia sedang bertarung di Nanjing untuk mengejar kejuaraan sulung sebagai juara dunia. Ia sememangnya satu gelaran yang bagus diraih, bersesuaian dengan statusnya sebagai pemain nombor satu dunia ketika ini.