Acara penganugerahan WWE Hall Of Fame merupakan sebuah acara wajib bagi mengisi kalendar WWE setiap tahun. Diadakan beberapa hari sebelum acara tahunan terbesar WWE iaitu WWE Wrestlemania, anugerah paling berprestij bagi gusti profesional ini menjadi medan untuk mengangkat nama seseorang lagenda itu ke dalam kelompok elit mereka yang pernah menyumbang ke dalam industri ini.

Mula diperkenalkan pada 22 Mac 1993, nama mendiang Andre The Giant menjadi yang pertama menerima pengiktirafan ini. Tradisi ini diteruskan untuk tahun-tahun berikutnya sehingga kini, dengan lebih 160 nama pelbagai bintang lagenda termasuk beberapa selebriti dan tokoh inspirasi dimasukkan dalam Dewan Kemasyhuran ini.

Untuk kelas 2018 tahun ini, beberapa nama hebat telah dimasukkan sebagai penerima terkini. Goldberg, Ivory, Dudley Boyz, Jeff Jarrett dan paling mutakhir, bintang suka ramai di era 80 an, Hillbilly Jim akan diangkat untuk menerima penganugerahan berharga ini. Tidak perlu kita pertikaikan mengapa nama-nama mereka ini diangkat kerana sudah terang lagi bersuluh, masing-masing mempunyai pencapaian gemilangnya yang tersendiri sepanjang karier mereka bagi melayakkan semua menerima pengiktirafan ini.



Namun, tidak kita nafikan yang sebenarnya masih ramai lagi nama yang juga layak untuk mengisi tempat di dalam senarai hebat ini. Mungkin senarai penerima telah dimuktamadkan untuk tahun ini, namun penulis percaya yang beberapa nama yang bakal disenaraikan di bawah juga layak dan patut dimasukkan ke dalam anugerah WWE Hall Of Fame untuk tahun-tahun mendatang.

DEAN MALENKO




Namanya mungkin kurang dikenali generasi hari ini. Tidak keterlaluan, ramai peminat terdahulu juga agak kurang mengingati karakter ini. Namun itu tidak boleh menafikan kehebatan seorang bintang yang menggunakan nama Dean Malenko ini.

Malenko, atau nama sebenarnya Dean Simon, 57 walaupun bertubuh agak kecil berbanding saiz tipikal penggusti hebat lain pada zamannya, namun cukup berpengaruh dan telah melahirkan revolusi penggusti teknikal hebat hingga kini. Dengan tinggi hanya 1.78 meter dan berat 96 kilogram, keupayaan Malenko di dalam gelanggang tidak dapat dinafikan dan mampu mencetuskan rasa gerun pada lawan.

Pernah digelar sebagai The Ice Man oleh lagenda Bobby The Brain Heenan kerana ekspresi wajah yang sentiasa serius dan jarang cakap banyak ketika di gelanggang, Malenko turut mendapat jolokan sebagai The Man Of 1000 Holds kerana pakar dalam pelbagai gerakan kunci atau submission yang mampu membuatkan lawannya menjerit kesakitan dan menyerah kalah.

Tanpa mengambil kredit, Malenko sebenarnya yang mencipta gerakan Crippler Crossface yang kemudian dipopularkan oleh mendiang Chris Benoit. Siapa sangka, majalah Pro Wrestling Illustrated telah menamakan Malenko sebagai penggusti nombor satu terbaik pada tahun 1997 atas kehebatan teknikalnya.

Menggilap namanya di sirkit Jepun, ECW (Extreme Championship Wrestling) dan WCW (World Championship Wrestling), Malenko berhijrah ke WWE pada awal tahun 2000 bersama rakan-rakan baiknya sewaktu di WCW (Eddie Guererro, Chris Benoit dan Perry Saturn) selajur membentuk pakatan The Radicalz. Walaupun hanya sempat bergelar Juara Light Heavyweight WWE sebanyak 2 kali, sumbangan Malenko tidak terhenti setakat itu dan terus menyumbang khidmat bakti sebagai ejen dan penerbit belakang tabir di WWE sehingga hari ini termasuk membimbing bakat-bakat baharu untuk terus berjaya ke peringkat seterusnya.

VADER



Jika kita sebut Leon Allen White, pasti ramai yang tercengang-cengang tidak mengenali nama ini. Namun jika dinyatakan nama Big Van Vader, sudah tentu kita terbayang sebuah sosok penggusti berbadan gempal dan sasa dengan topeng muka yang menggerunkan sesiapa yang memandang.

Vader merupakan seorang bintang lagenda yang boleh dikatakan lain daripada yang lain. Usah tertipu dengan saiz fizikalnya yang mempunyai berat 200 kilogram itu. Vader mampu melakukan banyak perkara yang sering dilakukan penggusti berbadan lebih ringan. Bayangkan penggusti dengan berat seperti Vader melakukan gerakan kuak seperti moonsault sebagai gerakan penyudah. Pasti memberikan impak yang mampu menjadi mimpi buruk lawannya.

Beberapa kali bergelar Juara Heavyweight Dunia di NJPW (New Japan Pro Wrestling) dan WCW, Vader telah mencipta pelbagai momen bersejarah dalam perlawanan-perlawanan yang disertainya. Paling diingati pastinya pertembungan antara Vader dengan Cactus Jack dalam sebuah perlawanan di Munich, Jerman di mana telinga kanan Cactus Jack terputus akibat tersangkut pada tali gelanggang.

Walaupun tidak memperoleh sebarang kejuaraan di WWE pasca penyertaannya di syarikat itu pada tahun 1996, namun perlawanan-perlawanan bersejarahnya dengan bintang-bintang ikonik seperti Shawn Michaels, Undertaker, Kane, Yokozuna dan ramai lagi pasti terus dikenang peminat. Tidak termasuk resume-nya sebagai Juara Heavyweight Dunia beberapa kali sewaktu aktif di WCW sebelum itu.

Dengan usia yang kini menginjak 62 tahun, selayaknya Vader menerima pengiktirafan berprestij ini sebelum beliau pergi untuk selamanya. Ditambah dengan faktor kesihatan yang semakin menyusut dan masalah jantung, penulis berharap agar Vader sempat merasai saat gemilang untuk meraikan perjalanan karier gemilangnya sepanjang lebih 30 tahun menghambakan diri dalam industri ini.

OWEN HART




Anak bongsu kepada pasangan Stu dan Helen Hart yang merupakan ikon gusti di Kanada. Namun bukan mudah untuk menggalas tugas sebagai adik kepada bintang paling popular pada era tersebut kerana Owen seakan sering dibayangi oleh abangnya, Bret “The Hitman” Hart.

Sebagai anak dan mendapat latihan ‘talaqqi’ secara terus daripada bapanya, kehebatan teknikal Owen di dalam gelanggang hampir menyamai abangnya. Malah, Owen pada satu ketika pernah memegang rekod sama seperti Bret apabila memenangi Kejohanan King Of The Ring pada tahun 1994.

Menamakan dirinya sebagai King Of Harts, pencapaian Owen di WWE juga tidak kurang membanggakan. Pernah menjulang Kejuaraan Antara Benua, Juara Eropah termasuk Juara Regu WWE sebanyak empat kali bersama Yokozuna, The British Bulldog dan Jeff Jarrett. Malah Owen juga boleh mendabik dada kerana pernah bertanggungjawab hampir melumpuhkan terus kerjaya Stone Cold Steve Austin ketika perlawanan bagi merebut Kejuaraan Antara Benua di acara WWE Summerslam 1997.

Sayang sekali, umur Owen tidak panjang apabila terkorban dalam satu kemalangan di acara WWE Over The Edge pada tahun 1999. Owen meninggal dunia pada usia 34 tahun dengan meninggalkan seorang balu dan dua orang anak.

Kuatnya legasi yang ditinggalkan Owen inilah yang menyebabkan bintang WWE hari ini, Kevin Owens menamakan anak lelakinya sebagai Owens bagi memberi tribute kepada bintang pujaannya ini.

MISS ELIZABETH




Tidak banyak yang boleh kita katakan tentang wanita ini. Namun itu tidak bermakna yang peranannya tidak penting, khususnya dalam mengangkat nama wanita dalam revolusi gusti profesional.

Miss Elizabeth Ann Hulette atau Liz mula menyinar pada tahun 1985 apabila muncul sebagai pengurus kepada Macho Man Randy Savage. Keayuannya menyebabkan nama Liz terus meniti di bibir peminat sehingga mendapat jolokan sebagai The First Lady Of Wrestling. Gandingan Macho Man dan Liz begitu menjadi mungkin kerana mereka merupakan pasangan suami isteri di dunia sebenar. Beberapa sengketa penting dalam perjalanan karier Macho Man juga melibatkan Miss Elizabeth seperti pertelingkahan dengan Jake The Snake Roberts, Hulk Hogan, Ultimate Warrior dan ramai lagi.

Penghijrahan beramai-ramai bintang era 80an WWE ke WCW pada tahun 1995/1996 turut sama mengheret Liz ke organisasi tersebut. Walaupun jarang kita dengar beliau melakukan promo, namun peranan Liz sebagai valet amat signifikan sehingga diangkat sebagai pengurus gagasan berhaluan kiri nWo (New World Order).

Liz juga tidak mempunyai hayat yang panjang apabila menemui ajalnya di usia 42 tahun pada 1 Mei 2003 akibat pengambilan ubat penahan sakit yang keterlaluan. Walaupun beliau telah lama meninggalkan kita, namun pengiktirafan kepadanya yang mencetuskan revolusi gusti wanita patut diangkat dan dikenang untuk tatapan generasi seterusnya.

CHYNA




Apabila berbicara tentang gusti wanita, pastinya nama Chyna akan terlintas di kepala kita. Suatu karakter yang berjaya memecah tembok sempadan antara penggusti lelaki dengan wanita.

Dinamakan sebagai The Ninth Wonder Of The World, kegagahan Chyna memang tidak dapat dinafikan biarpun beliau seorang wanita. Manakan tidak, dengan otot bisep kekar dan wajah yang bengis, faktor inilah yang memungkinkan dirinya dilantik sebagai benteng keselamatan kepada Triple H dan Shawn Michaels seterusnya menjadi antara yang terawal menganggotai pasukan De-Generation X.

Tidak terperangkap dalam kepompong divisyen wanita, Chyna beberapa kali bergusti dengan penggusti lelaki dan menjadi penggusti wanita pertama memenangi Kejuaraan Antara Benua dengan menewaskan Jeff Jarrett di acara WWE No Mercy 1999. Bukan itu sahaja, Chyna turut mengukuhkan namanya sebagai penggusti elit wanita apabila memenangi Kejuaraan Wanita WWE dengan menewaskan Ivory di acara WWE Wrestlemania X Seven pada tahun 2001.

Perjalanan hidupnya yang terumbang ambing pasca meninggalkan WWE pada November 2001 menyebabkan namanya mula merudum, menyebabkan beliau beralih kepada industri lain. Disahkan mengalami masalah depresi yang agak membimbangkan, Chyna ditemui tidak bernyawa lagi pada 20 April 2016 dipercayai kerana pengambilan ubat anti depresi yang berlebihan.

Walau apa pun pilihan hidup yang dipilihnya pasca WWE, namun segala apa yang telah disumbangkannya sepanjang bergelar bintang WWE tidak wajar dikesampingkan begitu sahaja. Chyna sememangnya layak untuk diiktiraf kerana sehingga hari ini, belum nampak lagi mana-mana bintang wanita yang mampu menyaingi apa yang pernah dilakukan Chyna ketika era kegemilangannya.

JIM JOHNSTON




Satu-satunya nama bukan penggusti yang sengaja penulis masukkan atas faktor sumbangannya kepada revolusi sukan hiburan hari ini. Jim Johnston, 58 adalah satu figura yang tidak asing lagi dalam dunia gusti WWE kerana bertanggungjawab menghasilkan lagu-lagu tema hebat untuk setiap bintang WWE sejak awal 90an hingga November tahun lalu.

Bayangkan nama-nama besar seperti Ultimate Warrior, Stone Cold Steve Austin, Undertaker, The Rock dan ramai lagi berjalan masuk ke gelanggang tanpa sebarang iringan muzik. Pasti kurang impaknya. Johnston selaku komposer utama WWE waktu itulah yang telah menggubah lagu-lagu tema hebat ini bagi menaikkan semangat keterujaan penonton kepada bintang kegemaran mereka.

Selain bertanggungjawab menghasilkan lagu-lagu tema untuk bintang WWE, Johnston turut berperanan sebagai komposer kepada beberapa skor muzik untuk filem-filem terbitan WWE Studios seperti The Chaperone, That’s What I Am dan banyak lagi.

Setelah CFO$ mengambil alih tugas menyediakan lagu-lagu tema untuk bintang WWE hari ini, Johnston menamatkan kontrak bersama WWE setelah lebih dua dekad menyajikan pelbagai rentak untuk industri ini. Pastinya ia bukan satu sumbangan yang kecil anak, dan nama Johnston perlu diiktiraf atas segala bakti yang telah dicurah selama ini.

SID VICIOUS




Seorang bekas juara dunia yang agak underrated dan jarang disebut. Namun ia tidak bermakna nama Sid Vicious/ Psycho Sid/ Sid Justice wajar kita lupakan.

Terkenal antara penggusti tinggi lampai dan sasa dengan ketinggian 2.06 meter, Sid atau nama sebenarnya Sydney Raymond Eudy, 57, muncul sebagai antara penggusti main eventer di era 90an. Pernah berkonfrontasi dengan nama-nama besar lain seperti Hulk Hogan, Undertaker, Diesel, Shawn Michaels dan ramai lagi. Personanya yang menampilkan watak seorang lelaki yang kurang stabil emosi dengan sekejap ketawa sekejap serius, menyebabkan nama Sid agak digeruni terutama di kalangan para peminat cilik waktu itu (termasuk penulis).

Dengan faktor fizikalnya yang mengatasi kebanyakan penggusti lain, Sid berjaya menempa beberapa kejayaan seperti Juara WWE sebanyak dua kali, Juara Heavyweight Dunia WCW, Juara NWA, USWA dan banyak lagi. Kali terakhir Sid muncul di acara WWE adalah ketika sambutan ambang ke 1000 episod Raw pada 25 Jun 2012 yang lalu dengan menentang Heath Slater.

Walaupun tidak lagi aktif bergusti, namun Sid masih lagi boleh diikuti di laman Twitternya dan sering memberikan pendapat tentang perkembangan semasa dunia gusti hari ini. Sebagai bekas juara utama dan pernah beraksi di perlawanan utama Wrestlemania, tidak wajar nama Sid dilupakan begitu sahaja dan anugerah Hall Of Fame selayaknya diberikan kepada beliau.

THE UNDERTAKER



Tiada siapa yang tidak kenal dengan The Undertaker. Tidak kira peminat era terdahulu atau kini, susuk ini masih menjadi simbol dominasi yang tiada bertepi di WWE.

Sejak muncul pertama kali di acara WWE Survivor Series 1990, Undertaker terus membina legasinya yang mana ia telah menjadi sebuah tombok yang sukar untuk dibolosi oleh mana-mana penggusti lain. Siapa sangka, dengan watak seorang pengurus pengebumian dan bergusti seperti seorang mayat hidup, watak Undertaker kekal relevan dan diminati peminat, biar pun watak-watak lain yang seakan dengannya hanya mampu bertahan beberapa ketika.

Ketika para penggusti WWE beramai-ramai berhijrah ke WCW pada tahun 1995/1996 sehingga mencetuskan Perang Malam Isnin antara siaran Raw dan Nitro, Undertaker masih setia bersama Vince McMahon dan menjadi ‘abang long’ kepada penggusti WWE yang masih tinggal dalam usaha membawa WWE kembali ke persada utama gusti di Amerika Syarikat.

Itu tidak lagi kita ceritakan tentang rekod tanpa kalahnya di Wrestlemania sejak tahun 1991 yang akhirnya lebur di tangan Brock Lesnar pada tahun 2014. Biarpun rekod tersebut telah pun dipecahkan, namun bunyi gong setiap kali kemunculan The Phenom masih mampu membuat bulu roma berdiri.

WWE tidak perlu menunggu Undertaker benar-benar bersara untuk memberikan anugerah berprestij ini kepadanya. Dengan usianya kini yang telah mencecah 52 tahun, tidak banyak lagi kudrat yang masih bersisa untuk The Undertaker terus aktif seperti dua dekad lalu.

Pastinya para WWE Universe ingin menyaksikan Undertaker memberi ucapan di anugerah WWE Hall Of Fame dan mendengar celoteh lagenda ini tentang turun naik perjalanan kariernya. Setelah pengurusnya iaitu mendiang Paul Bearer menerima pengiktirafan ini pada 2014 setelah kematiannya, takkan lah kita ingin melihat fenomena yang sama buat Undertaker.

Berikan segera anugerah Hall Of Fame kepadanya supaya legasi The Deadman akan terus menghantui WWE Universe untuk dekad seterusnya.

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia,WWENetwork. Saksikan acaraWWEFastlane dan kesemua acaraWWEPay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusifWWENetwork, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.