Sewaktu artikel ini ditulis, saingan Liga Super 2016 sudahpun mengharungi 15 perlawanan dengan Johor Darul Takzim (JDT) menerajui kempen dengan 39 mata.

Mereka diekori rapat pencabar terdekat iaitu Felda United yang dibezakan hanya 2 mata.

Nyata perebutan kejuaraan musim ini sudah pasti tertumpu antara kedua-dua pasukan ini dengan Selangor yang berada di tempat ketiga terlalu jauh untuk beri tentangan.

Perlawanan tumpuan sudah pasti pusingan ke-18 nanti di mana Felda United menjadi tuan rumah kepada JDT di Jengka seandainya masing-masing mengekalkan momentum sehingga ke waktu itu nanti.

Manakala persaingan untuk elak daripada penyingkiran ke Liga Perdana musim juga dijangka terus sengit dengan hanya 4 mata membezakan pasukan di tangga ke-5, Kelantan dengan Pahang yang kini mengumpul 13 mata di dasar liga.

Sedikit kesilapan daripada mana-mana pasukan ini pastinya memberikan kelebihan buat pasukan lain untuk memintas di antara mereka.

Berbaki 7 perlawanan, penulis yakin saingan Liga Super akan terus rancak dengan beberapa keputusan luar jangkaan pastinya akan kedengaran.

Penjadualan yang padat berikutan kempen Piala Malaysia yang bermula sebaik sahaja tempoh rehat sebulan sempena bulan Ramadhan lalu bakal main peranan besar buat pasukan yang merasai kesannya.

Ini tidak terkecuali pasukan-pasukan dari Liga Perdana yang juga tidak kurang hebat persaingannya dengan pendahulu ketika ini milik pasukan Melaka.

Kembali ke Liga Super, 21 mata jadi rebutan buat setiap pasukan, siapa yang bakal menjadi juara serta siapa yang terpaksa menanggung derita untuk turun ke Liga Perdana musim hadapan?